
KOTA KINABALU – Insiden kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk yang terus berlaku kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan serius, bukan sahaja dari sudut keselamatan jalan raya, malah sebagai isu kesihatan awam dan tanggungjawab moral yang mendesak.
Pensyarah Perubatan Kanan merangkap Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Abdul Rahman Ramdzan berkata, setiap tragedi yang dilaporkan bukan sekadar angka statistik, sebaliknya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa, termasuk kehilangan insan tersayang seperti bapa, suami atau ibu dalam sekelip mata.
“Kematian akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol tidak wajar dilihat sebagai kemalangan semata-mata kerana ia sebenarnya boleh dicegah.
“Alkohol menjejaskan keupayaan membuat keputusan, memperlahankan tindak balas serta meningkatkan risiko pelanggaran maut, sekali gus meletakkan pengguna jalan raya lain dalam bahaya.
“Dari perspektif kesihatan awam, pemanduan mabuk merupakan faktor risiko utama kepada kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya di seluruh dunia.
“Bukan sahaja meragut nyawa, malah mangsa yang terselamat berdepan kecacatan kekal, manakala keluarga pula menanggung trauma emosi serta beban kewangan,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Tambahnya, pendekatan pencegahan perlu lebih menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada hukuman semata-mata.
“Walaupun Malaysia telah memperketatkan undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol, cabaran dari segi penguatkuasaan dan keberkesanan pencegahan masih wujud.
“Kes yang berulang menunjukkan hukuman sahaja tidak mencukupi tanpa strategi pencegahan yang lebih luas, oleh itu pendekatan pencegahan pelbagai peringkat perlu dilaksanakan secara konsisten.
“Antara pencegahan utama yang boleh dilaksanakan melibatkan usaha mengawal akses kepada alkohol, menghadkan ketersediaannya serta meningkatkan kesedaran awam mengenai risiko pemanduan mabuk,” kongsinya.
Tambahnya lagi, pencegahan boleh dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu sekunder dan tertier.
“Pencegahan sekunder merangkumi penguatkuasaan tegas seperti ujian pernafasan secara rawak dan penggantungan lesen manakala pencegahan tertier pula memberi fokus kepada pemulihan termasuk rawatan ketagihan alkohol dan intervensi tingkah laku.
“Selain itu, adalah penting untuk menangani faktor sosial yang menyumbang kepada tingkah laku berisiko, termasuk normalisasi pengambilan alkohol dalam sesetengah situasi sosial,” jelasnya.
Menurut Abdul Rahman, masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dengan mengubah sikap tidak memandu di bawah pengaruh alkohol dan ia perlu dilihat bukan sahaja sebagai kesalahan undang-undang, tetapi sesuatu yang tidak boleh diterima oleh masyarakat.
“Keadilan yang lebih menyeluruh perlu diberikan kepada mangsa dan keluarga mereka.
“Ini kerana banyak keluarga terpaksa menanggung kesan emosi dan kewangan tanpa sokongan mencukupi, justeru cadangan seperti mekanisme pampasan berstruktur wajar dipertimbangkan.
“Pendekatan ini selari dengan prinsip keadilan restoratif, di mana pesalah bukan sahaja dihukum, tetapi turut bertanggungjawab terhadap kesan yang ditanggung mangsa.
“Usaha menangani isu ini memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan semua pihak termasuk agensi kerajaan, penguat kuasa, komuniti serta premis yang menjual alkohol.
“Premis berkaitan juga perlu memainkan peranan dengan menggalakkan pelanggan tidak memandu selepas mengambil alkohol, manakala kempen kesedaran pula harus dilaksanakan secara berterusan,” jelasnya.
Abdul Rahman turut menegaskan isu pemanduan mabuk ini mencerminkan sejauh mana masyarakat menghargai nyawa manusia.
“Setiap nyawa yang hilang bukan sekadar statistik, tetapi kehilangan besar kepada keluarga dan masyarakat.
“Tiada mana-mana keluarga sepatutnya menanggung penderitaan akibat kecuaian orang lain.
“Melindungi nyawa di jalan raya bukan hanya tanggungjawab undang-undang, tetapi tanggungjawab bersama dari sudut moral dan kesihatan awam,” katanya.



