
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan lebih 10,000 akaun palsu yang menyalahgunakan identiti kerabat diraja, termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan tindakan itu diambil untuk menghalang identiti kerabat diraja digunakan atau diperalatkan bagi tujuan penipuan dan penyelewengan.
Beliau menekankan, walaupun MCMC giat mengesan dan menurunkan akaun berkenaan, trend penyalahgunaan identiti kerabat diraja masih berterusan.
“Hampir setiap hari MCMC memaklumkan jumlah akaun palsu yang menggunakan nama-nama antara lain Sultan Pahang, Sultan Abdullah; Raja Muda Pahang, Tengku Hassanal; Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail… terlalu banyak.
“Jadi tuanku (Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim) telah menitahkan supaya saya, Kementerian Komunikasi dan MCMC mengambil tindakan pantas serta tegas, termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) untuk memastikan platform media sosial patuh dengan undang-undang negara kita.
“Ia termasuk tidak membenarkan kerabat Diraja terutama daripada menjadi mangsa atau diperalat identiti mereka untuk tujuan fraud, penipuan dan scam,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Penyiaran Digital anjuran Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) di sini, hari ini.
Mengulas mengenai trend akaun palsu memperalat nama kerabat diraja, Fahmi menegaskan tindakan syarikat induk Facebook, Meta sangat lambat.
“Inilah yang menyebabkan pihak MCMC dan saya sendiri berasa sangat frustrated (dukacita). Tetapi kita akan tegas melaksanakan ONSA.
“Pada waktu ini ada instrumen subsidiari yang perlu disiapkan dan perlu diwartakan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC). Kita jangkakan menjelang mungkin dalam tempoh beberapa minggu atau sebelum akan datang kita boleh laksanakan,” katanya.
Beliau turut menyatakan kekecewaan kerana syarikat berkenaan tidak memandang serius isu ini, sekali gus menyulitkan usaha MCMC untuk memastikan keselamatan identiti kerabat diraja di media sosial.







