
KANGAR – Jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Perlis terus menunjukkan pengecilan ketara kepada 0.80 mata berbanding 1.14 mata tahun lalu.
Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, perkembangan itu membuktikan usaha memperkukuh pendidikan di kawasan luar bandar semakin membuahkan hasil.
“GPN calon di bandar ialah 4.47 manakala luar bandar 5.27 dan jurang ini semakin rapat berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Menurut beliau, pengecilan jurang tersebut didorong oleh pelbagai intervensi termasuk penambahbaikan prasarana, kecukupan guru opsyen serta penempatan guru cemerlang di sekolah luar bandar.
Walaupun secara keseluruhan prestasi negeri sedikit menurun dengan GPN 4.67 berbanding 4.57 pada tahun lalu, perkembangan jurang tersebut dilihat sebagai petunjuk positif terhadap keseimbangan pendidikan.
Katanya, peningkatan turut dilihat dalam kategori lulus apabila 1,186 calon memperoleh sekurang-kurangnya gred E dalam semua mata pelajaran berbanding 1,042 calon tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang semua A menurun kepada 54 orang berbanding 89 orang pada 2024.
Seramai 3,752 calon menduduki peperiksaan SPM 2025 berbanding 3,551 calon tahun lalu, menunjukkan peningkatan penyertaan dalam kalangan pelajar negeri ini.
Selain itu, kadar kehadiran calon juga bertambah baik apabila jumlah tidak hadir menurun kepada 59 orang berbanding 69 orang sebelum ini.
Pelaksanaan peperiksaan tahun ini turut mencabar apabila berlangsung ketika bencana banjir, namun sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, komuniti dan warga pendidik memastikan semua calon dapat menduduki peperiksaan dengan lancar.







