Sabah sasar 20,000 pengunjung, Aidilfitri 2026 jadi wadah perpaduan

KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menyasarkan kehadiran sehingga 20,000 pengunjung sempena Program Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri yang akan berlangsung pada 28 Mac ini di Sabah International Convention Centre (SICC), dengan penekanan kepada nilai perpaduan dan kebajikan rakyat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Arifin Arif berkata, sambutan tahun ini mengangkat tema “Aidilfitri Wadah Perpaduan”, selari dengan usaha memperkukuh keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

“Majlis ini terbuka kepada semua dan kita menjangkakan kehadiran sekitar 20,000 orang, sebagaimana sambutan sebelum ini.

“Ia bukan sekadar perayaan, tetapi platform memperkukuh perpaduan,” katanya dalam Sidang Media Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah, di sini pada Khamis.

Menurut Arifin, persiapan program kini telah mencapai 95 peratus, dengan raptai penuh dijadualkan berlangsung malam Khamis sebagai persediaan akhir sebelum acara sebenar.

“Sambutan kali ini bakal menampilkan 71 gerai makanan yang dikendalikan oleh usahawan tempatan, serta penglibatan 15 hotel yang turut menyediakan pelbagai juadah Aidilfitri kepada pengunjung.

“Selain itu, enam agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Daerah Putatan, Papar, Majlis Perbandaran Penampang, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan turut mengambil bahagian menyediakan sajian kepada orang ramai,” kongsinya.

Tambahnya, dalam usaha menyemarakkan nilai inklusiviti, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada kebajikan apabila sumbangan akan disampaikan kepada sembilan rumah kebajikan melibatkan anak yatim, orang kurang upaya (OKU) serta golongan memerlukan.

“Lebih 1,000 anak tahfiz dan anak yatim dijemput khas bagi bersama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan.

“Menariknya, sambutan tahun ini akan menampilkan elemen seni budaya pelbagai kaum, termasuk persembahan khas oleh pelukis kaligrafi dari Republik China yang kini menetap di Kuala Lumpur.

“Artis tempatan Sabah seperti Masha dan Fauzia Gambus akan turut memeriahkan acara bersama pelbagai persembahan lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, Ketua Menteri Sabah, barisan menteri Kabinet negeri, wakil NGO dan pelbagai agensi kerajaan akan bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan.

Mengulas mengenai perbezaan penganjuran tahun ini, Arifin berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih berhemat selaras dengan saranan Perdana Menteri, tanpa menjejaskan kualiti penganjuran.

“Kita tambah baik program dengan memberi lebih fokus kepada golongan memerlukan, di samping memastikan perbelanjaan lebih berhemah,” katanya.

Related Posts

MBI tawar diskaun 50 peratus kompaun, parkir dan bot percuma sempena ulang tahun Bandar Raya Ipoh ke-38

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menawarkan pelbagai insentif dan aktiviti menarik kepada warga kota sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh ke-38, termasuk diskaun 50 peratus kompaun lalu lintas,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MCMC arah CelcomDigi tingkat kualiti liputan perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Tinagat, Tawau segera

TAWAU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan tindakan segera diambil bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Tinagat susulan aduan yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Isu Rohingya: KP JKOM tinjau kawasan di Selayang teliti keluhan rakyat

Isu Rohingya: KP JKOM tinjau kawasan di Selayang teliti keluhan rakyat

Pas belum maafkan Bersatu, krisis Perlis terus hantui PN

Pas belum maafkan Bersatu, krisis Perlis terus hantui PN

Perubahan berkesan bukan yang paling viral tapi bermanfaat buat rakyat

Perubahan berkesan bukan yang paling viral tapi bermanfaat buat rakyat

MBI tawar diskaun 50 peratus kompaun, parkir dan bot percuma sempena ulang tahun Bandar Raya Ipoh ke-38

MBI tawar diskaun 50 peratus kompaun, parkir dan bot percuma sempena ulang tahun Bandar Raya Ipoh ke-38

MCMC arah CelcomDigi tingkat kualiti liputan perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Tinagat, Tawau segera

MCMC arah CelcomDigi tingkat kualiti liputan perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Tinagat, Tawau segera

Isu Dialog Datuk Bandar Sedunia di China: Amy Tnay perjelas status kehadiran

Isu Dialog Datuk Bandar Sedunia di China: Amy Tnay perjelas status kehadiran