MELAKA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diadakan dalam tempoh kira-kira enam bulan lagi susulan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 yang akan tamat pada 30 Disember ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, proses pilihan raya itu perlu dilaksanakan tahun ini selaras dengan tempoh penggal pentadbiran yang telah ditetapkan.
Beliau berkata, kerajaan negeri ketika ini memberi keutamaan kepada urusan pentadbiran serta pelaksanaan agenda pembangunan sebelum memasuki tempoh pilihan raya menjelang hujung tahun.
“Tarikh akhir kita (penggal ini) adalah pada 30 Disember dan sudah pasti ia (PRN) akan diadakan sebelum tarikh itu,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis moreh bersama pengamal media Melaka di Bandaraya Melaka, di sini, malam tadi.
PRN Melaka sebelum ini berlangsung pada 20 November 2021 selepas DUN dibubarkan susulan krisis politik yang menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika itu kehilangan sokongan majoriti.
Keputusan pilihan raya berkenaan menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 21 kerusi DUN sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pentadbiran negeri kini sedang menyusun langkah bagi meyakinkan rakyat bahawa kepimpinan sedia ada mampu meneruskan usaha memajukan Melaka pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai peranan pengamal media yang disifatkan banyak membantu menyampaikan maklumat berkaitan dasar dan pencapaian kerajaan negeri kepada masyarakat.
“Saya mahu menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama dan kesepakatan yang diberi pengamal media sehingga Melaka berjaya menjadi negeri contoh dalam pelbagai dasar yang dibawa. Jika penjawat awam menjadi tiang seri, pengamal media adalah dinding’ dan tembok’ yang memperkukuhkan lagi struktur kerajaan negeri sehingga mencapai pelbagai kejayaan,” katanya.






