
Oleh: EVELINE B & NANA MOHAMAD
SIBU — Seramai 25,000 pengunjung membanjiri Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa I di sini bagi memeriahkan penganjuran program Lan Berambeh Sungkei edisi kelapan yang berlangsung pada Sabtu.
Walaupun hujan lebat melanda pada sebelah petang, ia tidak mematahkan semangat orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk hadir memeriahkan program berbuka puasa berkenaan.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, sasaran kehadiran pengunjung berjaya dicapai dengan jumlah kehadiran yang terus meningkat sehingga memenuhi kawasan dataran tersebut.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Kita dapat lihat orang ramai terus datang dan suasana di sini sangat meriah,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Beliau berkata, kejayaan program itu turut disokong oleh penglibatan pelbagai agensi kerajaan, jabatan, kelab serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama menjayakan penganjuran acara tersebut.
Menurutnya, setiap pihak memainkan peranan masing-masing bagi memastikan program itu dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan tersusun.

“Kerjasama daripada ketua-ketua jabatan, kelab serta pelbagai agensi kerajaan membolehkan program ini dijalankan dengan baik. Malah setiap kelab turut menyumbangkan makanan untuk diagihkan kepada orang ramai yang hadir,” katanya.
Tambah beliau, program berkenaan bukan sahaja menjadi platform untuk masyarakat berkumpul dan berbuka puasa bersama, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara pelbagai kaum dan komuniti di Bahagian Sibu.
“Program seperti ini sangat baik kerana ia menghimpunkan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Inilah semangat kebersamaan yang kita ingin pupuk dalam komuniti,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang membuat liputan program berkenaan memandangkan Sibu menjadi lokasi penutup bagi Jelajah Ramadan di Sarawak tahun ini.
“Terima kasih kepada RTM yang turut sama menjayakan program ini melalui liputan yang diberikan. Ini sekali gus membantu mempromosikan Bahagian Sibu kepada masyarakat luar,” katanya.

Program tersebut turut menerima kehadiran tetamu dari Brunei, Kalimantan serta beberapa bahagian lain di Sarawak.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Abang Mohamad berkata pihaknya bercadang menjadikan program itu sebagai salah satu produk pelancongan di Bahagian Sibu.
“Cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan melalui menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bagi memperluaskan lagi penganjuran program ini pada masa akan datang.
“Jika berjaya direalisasikan, program Lan Berambeh Sungkei berpotensi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang ke Sibu setiap kali Ramadan,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia (RTM), Ashwad Ismail.



