
KUCHING – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sarawak menyasarkan lebih 1,000 sekolah di seluruh negeri itu dalam usaha memperluaskan Kempen Internet Selamat.
Program turun padang yang berlangsung di Bazar Ramadan Stutong pada Sabtu itu diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng.

Pengarah SKMM Cawangan Kuching, Ts. Scott Kueh Sui Yek berkata, objektif utama kempen tersebut adalah untuk mendidik orang awam mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika melayari internet.
Beliau memberi amaran kepada orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah mengklik pautan yang mencurigakan bagi mengelakkan peranti pintar digodam dan wang lesap.
“Selain Bazar Ramadan Stutong di Kuching, kempen kesedaran ini turut digerakkan di tiga lagi lokasi utama iaitu Sibu, Bintulu dan Miri.
“Setakat ini, kami telah mempromosikan kempen ini di hampir kesemua sekolah di Sarawak dan menyasarkan untuk melengkapkannya di semua sekolah menengah dan rendah pada hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Tambah Scott, ibu bapa juga dinasihatkan supaya memantau aktiviti digital anak-anak dan memastikan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun tidak mempunyai akaun media sosial.
Dalam pada itu, pengunjung reruai MCMC berpeluang menyertai ujian penilaian pengetahuan internet dan mereka yang berjaya memperoleh markah 60 ke atas akan dilantik sebagai ‘Wira Internet Selamat’. Pengunjung juga berpeluang menerima pek Ramadan istimewa sekiranya menyertai aktiviti mudah yang disediakan.
Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui menyambut baik inisiatif proaktif MCMC tersebut.

Pekerja swasta, Lilo, 26, menyifatkan kempen itu sebagai satu inisiatif yang sangat bagus. Menurutnya, pendedahan mengenai bahaya siber amat penting kerana gejala buli siber boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan dan kemurungan.

Bagi penjawat awam, Muhammad Rudy, 51, beliau bersetuju bahawa kanak-kanak perlu dipantau. Ujarnya, maklumat yang tidak ditapis di internet boleh menjejaskan perkembangan anak-anak.
Turut berkongsi nada sama, Rozilawaty, 43, yang menyeru orang ramai khususnya golongan belia untuk singgah ke program anjuran MCMC itu bagi mendapatkan pendedahan berguna.






