Krisis Bersatu–Pas masuk fasa baharu – Pemerhati politik

KRISIS antara Bersatu dan Pas dilihat memasuki fasa baharu susulan perkembangan terkini membabitkan kepimpinan parti serta kedudukan dalam Perikatan Nasional (PN).

Pemerhati politik, Raggie Jessy Rithaudeen berkata, situasi itu dapat dilihat menerusi kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menegaskan beliau akan memastikan parti baharu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menjadi sebahagian daripada PN.

Menurutnya, kenyataan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai pengaruh sebenar Muhyiddin dalam gabungan itu walaupun jawatan pengerusi PN kini disandang pemimpin Pas.

Katanya, tindakan Hamzah yang dilaporkan mengakui terdapat perbincangan untuk mengambil alih sebuah parti politik juga memberi gambaran wujudnya usaha membentuk platform politik baharu.

“Perkembangan ini menunjukkan krisis dalaman yang berlaku bukan sekadar isu pemecatan, sebaliknya berpotensi membentuk blok politik baharu menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam siaran langsung di Facebook.

Raggie berkata, situasi itu turut meletakkan Pas dalam kedudukan sukar kerana parti berkenaan perlu menentukan pendirian terhadap kedudukan Hamzah dan parti baharu yang bakal diterajuinya.

Jelasnya, sekiranya parti Hamzah berada di luar PN, sukar untuk gabungan itu merangka strategi politik secara bersama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Namun jika parti Hamzah dibawa masuk ke dalam PN, ia juga menimbulkan persoalan mengenai hubungan antara Hamzah dan Muhyiddin yang kini dilihat bertentangan secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan Pas tidak dapat mengelakkan keperluan membuat keputusan jelas bagi menentukan hala tuju gabungan berkenaan.

“Pas perlu membuat keputusan sama ada menerima parti Hamzah sebagai sebahagian daripada PN atau sebaliknya kerana perkara itu akan mempengaruhi strategi politik gabungan itu menjelang PRU16,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, persepsi bahawa Pas sekadar memegang jawatan pengerusi PN secara simbolik boleh timbul sekiranya parti itu dilihat tidak mempunyai pengaruh dalam menentukan keputusan penting dalam gabungan berkenaan.

Raggie berkata, sekiranya parti baharu Hamzah tidak berada dalam PN, terdapat kemungkinan ia menjalin kerjasama dengan parti lain termasuk UMNO, yang berpotensi mengubah landskap politik negara menjelang PRU16.

Media melaporkan Muhyiddin berkata, beliau tidak mampu membayangkan kerjasama dengan Hamzah, dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau sudah tidak lagi mempercayai Hamzah, sekali gus menyukarkan sebarang bentuk kerjasama antara mereka pada masa ini.

Muhyiddin turut menegaskan beliau sendiri akan menolak sekiranya Hamzah bersama parti baharunya kelak berhasrat menyertai PN.

Ujarnya, keputusan untuk menerima keahlian dalam PN bukan ditentukan oleh satu pihak sahaja, sebaliknya perlu mendapat persetujuan semua parti komponen dalam gabungan itu.

Pada masa sama, Hamzah yang kini masih memegang jawatan Ketua Pembangkang dijangka memimpin Parti Keluarga Malaysia susulan pemecatannya daripada Bersatu bulan lalu.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada parti baharu berkenaan berpotensi menyertai PN, lebih-lebih lagi mengambil kira hubungan baik Hamzah dengan Pas.

Related Posts

10 Exco Negeri Sembilan dilucutkan jawatan berkuat kuasa serta-merta

SEREMBAN – Pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dibatalkan berkuat kuasa serta-merta pada 20 September 2026. Keputusan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz…

Lebih lanjut

teruskan membaca
AMK Negeri Sembilan gesa jangan alih isu kedudukan Yang di-Pertuan Besar

SEREMBAN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan mengingatkan semua pihak supaya tidak mengalihkan isu daripada persoalan utama membabitkan kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, institusi Undang dan Adat…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

10 Exco Negeri Sembilan dilucutkan jawatan berkuat kuasa serta-merta

10 Exco Negeri Sembilan dilucutkan jawatan berkuat kuasa serta-merta

AMK Negeri Sembilan gesa jangan alih isu kedudukan Yang di-Pertuan Besar

AMK Negeri Sembilan gesa jangan alih isu kedudukan Yang di-Pertuan Besar

Li Qiang jamin kepentingan PMKS Malaysia terpelihara – PM Anwar

Li Qiang jamin kepentingan PMKS Malaysia terpelihara – PM Anwar

Pelaburan lebih RM28 bilion antara hasil lawatan Anwar ke China

Pelaburan lebih RM28 bilion antara hasil lawatan Anwar ke China

Tujuh halaman, tapi soalan asas masih belum dijawab Ismail – Tengku Zafrul

Tujuh halaman, tapi soalan asas masih belum dijawab Ismail – Tengku Zafrul

Abang Perdana Menteri meninggal dunia

Abang Perdana Menteri meninggal dunia