
KUCHING – Kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang cedera akibat dicampak ke dalam parit oleh bapanya di Saratok, kini dilaporkan stabil dan pemulihannya sedang dipantau rapat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pegawai pelindung JKM kini sedang menunggu perintah rasmi mahkamah bagi menentukan hak penjagaan sementara mangsa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program edaran bubur lambuk dan 100 buah topi keledar motosikal kepada orang awam di Stesen Minyak Petronas Bintawa Ulu pada Sabtu.
Jelas beliau, sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk telah berjaya disiapkan secara bergotong-royong seawal pagi untuk dikongsi bersama hadirin dan orang awam sebagai perkongsian rezeki dan juadah berbuka puasa.
Terdahulu, stesen minyak berkenaan merupakan lokasi kedua persinggahan beliau dalam siri jelajah Program Ramadan Prihatin, selepas merasmikan penyerahan sumbangan 150 bakul makanan di Masjid Darul Hana, Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak.
Mengulas lanjut mengenai kes dera tersebut, Nancy menjelaskan bahawa mahkamah akan membuat penilaian terperinci bagi mengklasifikasikan individu yang ‘layak dan sesuai’ untuk menjaga kanak-kanak berkenaan buat masa ini.

“Penilaian tersebut adalah menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk keadaan serta kemampuan ibu mangsa sendiri mahupun saudara-mara terdekat.
“Sekiranya tiada waris atau tempat penempatan yang sesuai, kanak-kanak malang itu akan diletakkan sepenuhnya di bawah jagaan pihak JKM demi keselamatan dan kesejahteraannya,” jelas beliau.
Pada kejadian pagi Rabu lalu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian mata dan paha selepas dicampak ke dalam parit di luar rumah oleh bapa kandungnya yang berusia 43 tahun.
Suspek yang ditahan polis pada keesokan harinya disahkan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, dengan kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.



