
SEMPORNA – Tindakan pantas pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna mengawal api berjaya menyelamatkan 37 bush rumah termasuk banglo dan sebuah kedai perkakas daripada turut musnah dalam insiden kebakaran di Jalan Pinggir Bakau, di sini, petang Jumaat.
Ketua BBP Semporna, Rastam Keladi berkata, dalam kejadian pukul 1.51 petang itu, sembilan rumah, sebuah kedai runcit dan stor kedai perkakas musnah sepenuhnya.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan 21 anggota termasuk dari BBP Air bergegas ke lokasi menggunakan tiga jentera dan memulakan operasi memadam kebakaran.
“Seorang wanita berumur 53 tahun yang merupakan salah seorang pemilik rumah juga pengsan sebelum ditenangkan keluarganya serta diberikan rawatan awal pihak Bomba,” katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.
Hasil tindakan cekap menggunakan dua aliran sepanjang 500 kaki dari pili bomba berdekatan, api berjaya dikawal pada 2.29 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 5.30 petang.







