
KOTA KINABALU – Program Ramadan Jazz yang menggabungkan elemen dakwah dan seni muzik bakal menjadi antara pengisian istimewa Ramadan tahun ini sebagai platform pendekatan santai untuk mendekati golongan belia di negeri ini.
Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad berkata, program tersebut merupakan anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan digerakkan oleh Belia USIA dengan sokongan pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Program berkenaan sebelum ini telah dilaksanakan dua tahun lalu di Sandakan dan mendapat sambutan amat menggalakkan khususnya dalam kalangan golongan belia.
“Program ini telah kita laksanakan di peringkat Bahagian Sandakan dan mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk penggerak di belakang tabir.
“Sambutannya sangat baik, bukan sahaja dalam kalangan belia Islam, malah turut dihadiri masyarakat bukan Islam dan pelancong yang kebetulan berada di lokasi program.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan yang semasa itu Timbalan Menteri, hadir sebanyak dua kali dan melihat sendiri kekuatan di sebalik Ramadan Jazz ini dalam membina masyarakat madani berteraskan kasih sayang, ihsan dan semangat bekerjasama,” katanya selepas mesyuarat penyelarasan program di sini, pada Isnin.
Sapawi menjelaskan, konsep Ramadan Jazz menampilkan pendekatan dakwah secara terbuka di lapangan dengan menggabungkan muzik, tazkirah ringkas dan aktiviti kebajikan dalam suasana santai tetapi berteraskan nilai Islam.
“Pengisiannya merangkumi agihan bubur lambuk kepada orang ramai pada sebelah petang, ceramah atau tazkirah ringkas, persembahan lagu-lagu dakwah serta program Semarak Subuh.
“Dalam masa yang sama, kita turut menyantuni golongan asnaf dan mengadakan program ziarah termasuk ke hospital bagi menyampaikan sumbangan.
“Ramadan di Sabah ini mempunyai keunikannya tersendiri kerana penglibatan masyarakat bukan Islam juga sangat ketara, khususnya ketika waktu sungkai (berbuka puasa) dan di bazar Ramadan.
“Jadi Ramadan Jazz ini selari dengan semangat kebersamaan, memperkukuh silaturahim serta menzahirkan nilai kasih sayang dalam masyarakat majmuk,” ujarnya.
Tambah Sapawi, kejayaan penganjuran di Sandakan mendorong pihak kementerian agar program tersebut diperluaskan ke peringkat negeri dengan sokongan padu JAKIM serta kerjasama agensi agama negeri dan NGO berkaitan.
Selain pengisian kerohanian dan kebajikan, pengunjung turut berpeluang menjadi pengunjung bertuah dengan hadiah menarik termasuk kemungkinan pakej menunaikan umrah.
Mengulas mengenai artis undangan, Sapawi berkata pihak penganjur akan menampilkan gabungan artis tempatan dan luar Sabah.
“Kita rancang konsep 50-50, iaitu 50 peratus artis tempatan dan 50 peratus dari luar, termasuk dari Semenanjung. Nama artis akan diumumkan kemudian kerana kita mahu beri sedikit kejutan kepada pengunjung,” katanya.
Program berkonsepkan dakwah terbuka itu dijadual berlangsung pada 14 Mac depan di Kompleks Sukan Likas, di sini, dan dijangka menghimpunkan penyertaan masyarakat pelbagai lapisan termasuk golongan muda.
Program itu dijangka diadakan bermula seawal jam 4 petang dan menyasarkan kehadiran kira-kira 1,500 pengunjung.



