PERGESERAN dalaman Bersatu membabitkan kem Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kem Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilihat semakin terbuka apabila melarat sehingga ke akaun Facebook rasmi Bersatu.
Perkembangan itu mencetuskan tanda tanya apabila paparan dan nada beberapa hantaran di laman rasmi berkenaan didapati berbeza daripada kebiasaan.
Tinjauan The Malaysia Press mendapati deretan hantaran berbaur sinis serta bernada mendesak pengunduran Muhyiddin semakin ketara, sekali gus memberi gambaran seolah-olah kedudukan Bersatu berada di hujung tanduk.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang penjelasan rasmi dikeluarkan berhubung perubahan paparan dan kandungan berkenaan.
Dalam beberapa hantaran dimuat naik pagi ini, antaranya mendakwa Muhyiddin hanya memiliki sokongan lima Ahli Parlimen daripada Bersatu sendiri dan tiada kredibiliti untuk menjadi Perdana Menteri.
“Macam mana nak jadi PM kalau MP sendiri pun tak sokong? 5 orang je dengan dia. Main futsal pun belum tentu cukup,” menurut hantaran itu.
Selain itu, sebuah poster menampilkan gambar Muhyiddin dengan tulisan ‘Undur Muhyiddin’ serta kapsyen ‘Masanya sudah tiba’ turut mengundang pelbagai reaksi warga maya.
Setakat semalam, Lembaga Disiplin Bersatu memecat 17 ahlinya, termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), atas perlanggaran peraturan parti.
Tindakan itu dibuat kerana ahli berkenaan menyertai perjumpaan dianjurkan oleh individu yang dipecat Bersatu.
Kesalahan tersebut termasuk bertindak bertentangan dengan Perlembagaan Bersatu serta mengeluarkan kata-kata kesat yang mencemarkan nama baik dan maruah parti.
Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Hamzah telah dipecat keahliannya daripada Bersatu mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan parti.
Beliau berkata tindakan itu susulan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.





