KDNK suku keempat lonjak 6.3 peratus, bukti ketahanan permintaan domestik – PM

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat tahun lalu, sekali gus menjadi yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan melepasi anggaran awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, prestasi itu dipacu oleh permintaan domestik yang terus berdaya tahan, sekali gus mengangkat pertumbuhan keseluruhan tahun 2025 kepada 5.2 peratus berbanding 5.1 peratus pada 2024.

Beliau berkata, pencapaian itu turut mengatasi unjuran rasmi kerajaan antara empat hingga 4.8 peratus, manakala defisit fiskal berjaya dikurangkan kepada 3.7 peratus pada 2025 berbanding 4.1 peratus pada 2024, lebih baik daripada jangkaan awal 3.8 peratus.

Katanya, asas makroekonomi yang kukuh itu diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat menerusi kadar pengangguran terendah dalam tempoh lebih 10 tahun iaitu 2.9 peratus serta kadar inflasi rendah 1.4 peratus pada 2025 berbanding 1.8 peratus pada 2024.

“Penjimatan daripada reformasi fiskal dapat diperuntukkan semula kepada program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di samping komitmen berterusan kerajaan terhadap projek infrastruktur awam yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, semakin ketara bahawa penyampaian yang jelas bagi rangka kerja dasar, seperti yang digariskan di bawah Ekonomi MADANI, diikuti dengan pelaksanaan berterusan pembaharuan yang sukar, telah mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Ini dicerminkan dalam pengukuhan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, peningkatan pelaburan langsung dan pencapaian paras tertinggi FTSE Bursa Malaysia KLCI dalam tempoh tujuh tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata, meskipun pencapaian itu membanggakan, kerajaan tidak boleh alpa ketika dunia berdepan cabaran global dan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat.

Beliau menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh agenda pembaharuan Ekonomi MADANI dengan menjadikan 2026 sebagai tahun memperhebat usaha merangsang aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi.

Langkah itu termasuk mempergiat usaha membanteras rasuah, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menambah baik persekitaran perniagaan.

Menurutnya, ekonomi negara dijangka kekal stabil tahun ini, disokong permintaan domestik yang mampan, penggunaan isi rumah yang kukuh serta pelaburan berterusan.

“Aktiviti pelancongan yang lebih rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam akan mengukuhkan lagi perbelanjaan pengguna.

“Belanjawan 2026 akan meletakkan asas kepada Rancangan Malaysia Ke-13, 2026–2030 di samping dasar utama lain bagi menggalakkan pengembangan ekonomi yang inklusif dan mampan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan akan terus berdisiplin dalam pengurusan fiskal bagi memastikan kemampanan jangka panjang kewangan negara tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan.

Related Posts

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan, di sini, malam ini. Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa polis menyiasat Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan barisan Exco negeri itu berhubung keputusan menerima proklamasi penyingkiran Tuanku Muhriz…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

Krisis Negeri Sembilan kian memuncak, Amanah cadang MB mohon bubar

Krisis Negeri Sembilan kian memuncak, Amanah cadang MB mohon bubar

Kemelut Negeri Sembilan: Raja perlu dihormati, semua tindakan mesti ikut aturan – Ibrahim Ali

Kemelut Negeri Sembilan: Raja perlu dihormati, semua tindakan mesti ikut aturan – Ibrahim Ali

Pendidikan, sosioekonomi nadi utama kelestarian komuniti Tellian

Pendidikan, sosioekonomi nadi utama kelestarian komuniti Tellian

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET