
SEBANYAK RM3.9 bilion bayaran balik cukai telah disalurkan kepada pembayar cukai sehingga 31 Januari 2026, membabitkan penyelesaian 34,899 kes pemfailan cukai bagi tahun taksiran 2023.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan perkara itu menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Khamis.
Jawapan berkenaan dikemukakan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau), yang meminta penjelasan kerajaan mengenai statistik bilangan entiti serta jumlah yang dijangka menerima bayaran balik cukai, termasuk jumlah bayaran balik yang masih tertunggak.
MOF berkata, selaras dengan komitmen yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 5 Januari 2026, kerajaan menyasarkan untuk menyelesaikan sepenuhnya bayaran balik bagi pemfailan cukai tahun taksiran 2023 dalam tempoh suku pertama 2026.
Selain itu, kementerian berkenaan turut memberi jaminan bayaran balik cukai bagi pemfailan tahun taksiran 2024 akan dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini.
“Kerajaan komited memastikan proses bayaran balik cukai dilaksanakan secara berperingkat dan teratur bagi menjaga kebajikan pembayar cukai serta kelancaran pengurusan fiskal negara,” katanya.








