
ARAU — Polis menumpaskan kumpulan jenayah dikenali sebagai Geng pecah rumah ‘Boy Arau’ susulan beberapa tangkapan berkaitan kes curi kereta dan pecah rumah yang berlaku di sekitar Perlis sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, operasi oleh Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bermula petang semalam hasil risikan berterusan.
Menurutnya, pada jam kira-kira 7.50 malam, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan di tepi Jalan Taman PKNK, Jalan Tun Abdul Razak, Alor Setar, Kedah.
“Susulan tangkapan itu, satu lagi operasi dijalankan pada jam kira-kira 10.30 malam di perkarangan kafe Kesenai, Universiti Teknologi Mara Cawangan Arau,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, dua suspek lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza berwarna merah cuba melarikan diri dan bertindak melanggar pegawai polis.
“Suspek enggan berhenti dan bertindak agresif cuba merempuh anggota polis sehingga beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah tayar hadapan kenderaan bagi menghentikan pergerakan mereka.
“Kenderaan itu akhirnya berhenti di kawasan Taman Bersatu, Jalan Batas Liku, Arau sebelum seorang suspek lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai buruh berjaya ditahan,” katanya.

Menurut beliau, suspek utama yang bekerja sebagai pekerja kafe melarikan diri ke kawasan semak berhampiran lokasi kejadian.
Tambahnya, bantuan Unit K9 Bukit Kayu Hitam dan Forensik D10 IPK Perlis digerakkan bagi mengesan suspek serta menjalankan pemeriksaan di lokasi.
“Hasil pemeriksaan menemukan enam kelongsong peluru, satu serpihan anak peluru serta satu sarung pistol di dalam kenderaan, selain kesan tembakan pada kedua-dua tayar hadapan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, polis turut menahan seorang wanita berusia 31 tahun yang merupakan isteri suspek utama di sebuah rumah di Jalan Santan, Kangar pada pukul 12.40 awal pagi tadi.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan beberapa peralatan pertukangan dan barangan elektronik yang dipercayai hasil curi.
Beliau berkata, suspek utama berusia 47 tahun yang melarikan diri berjaya diberkas kira-kira pukul 12 tengah hari tadi berdekatan rumahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307/186, 457 dan 379A Kanun Keseksaan.




