
LIMBANG – Majlis Daerah Limbang (MDL) memberikan tumpuan khusus terhadap aspek pengurusan parkir dan kelancaran trafik di tapak Bazar Ramadan bagi mengelakkan kesesakan luar biasa sepanjang bulan puasa ini.
Pengerusinya, Kaunselor Sufian Mohat berkata, pasukan penguat kuasa akan ditempatkan di lokasi strategik selain menjalin kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau aliran lalu lintas.
Menurutnya, langkah proaktif itu penting bagi menjamin keselamatan orang ramai serta memastikan tiada kenderaan diletakkan secara sembarangan sehingga mengganggu pergerakan trafik.
“Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi peraturan parkir dan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana ia bukan sahaja menyebabkan kesesakan, malah membahayakan pengguna lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai penganjuran Bazar Ramadan 2026 di Pejabat MDL di sini, baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, Sufian menegaskan MDL tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang melanggar syarat permit, terutamanya membabitkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan.
Mendedahkan perkara itu, beliau memberitahu, sebanyak tiga aduan diterima pihaknya tahun lalu berhubung tahap kebersihan makanan yang kurang memuaskan membabitkan peniaga bazar.
Justeru katanya, semua peniaga diingatkan supaya mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh MDL dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan juadah yang dijual bersih, selamat dan berkualiti.
Tambahnya, pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kepatuhan undang-undang, termasuk di kawasan kampung dan premis persendirian.





