
KINABATANGAN – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar memberi jaminan untuk meneruskan usaha memperbaiki akses jalan raya di kawasan luar bandar yang dianggap kritikal, khususnya bagi masyarakat yang bergantung kepada hasil laut dan sungai terutamanya di Karamuak.
Katanya, menjadi hasrat beliau untuk memastikan semua kawasan luar bandar mendapat akses darat yang lebih baik, seperti yang telah diusahakan oleh penyandang sebelumnya, Allahyarham Datuk Bung Moktar Radin.
“Antara projek yang sedang dan telah dilaksanakan ialah Jalan Sinaron, Jalan Penanga serta pembinaan Jalan Karamuak.
“Selepas prasarana asas selesai, cabaran berikutnya adalah meningkatkan ekonomi penduduk, terutama golongan nelayan sungai dan laut yang sering berdepan masalah dalam memasarkan hasil serta isu harga jualan yang tidak menentu,” ujarnya.
Menurut Naim, antara komitmen dalam manifestonya adalah menubuhkan pusat pengumpulan hasil laut dan sungai di peringkat kampung termasuk di kampung berkenaan.
“Kemudahan itu bertujuan menyelaras, menyimpan dan memasarkan hasil penduduk ke pasaran lebih besar dan kompetitif.
‘’Kita yakin langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan nilai jualan, tetapi dapat membantu penduduk menikmati pulangan yang jauh lebih baik berbanding bergantung pada peraih setempat.
“Jika saya diberi mandat, saya akan memastikan hasil masyarakat kampung dapat dipasarkan dengan lebih meluas supaya mereka menikmati pendapatan yang lebih baik,”kongsinya semasa meninjau Pusat Daerah Mengundi (PDM) Karamuak dan Sentuhan Mesra Calon Kinabatangan, baru-baru ini.






