
LAWAS – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) disaran terus memainkan peranan sebagai platform dakwah dan perhubungan masyarakat yang berkesan melalui pendekatan berhemah, berakhlak mulia serta inklusif bagi memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, mesyuarat yang diadakan bertujuan menetapkan hala tuju serta memperkukuh komitmen PERKIM Lawas agar terus relevan sebagai wadah dakwah yang menekankan nilai murni, toleransi dan kesejahteraan sosial.
Menurut beliau, dakwah tidak harus dilihat semata-mata melalui ucapan atau ceramah, sebaliknya perlu dizahirkan melalui tingkah laku dan akhlak yang baik kerana ia merupakan bentuk dakwah paling berkesan dan mudah diterima masyarakat.
“Akhlak yang baik, sikap saling menghormati serta tingkah laku terpuji adalah contoh terbaik kepada masyarakat.
“Inilah pendekatan dakwah yang paling berkesan dan mampu membina kepercayaan serta keharmonian dalam komuniti berbilang kaum,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sokongan berterusan daripada kepimpinan serta masyarakat amat penting bagi memastikan peranan PERKIM dapat diperkasakan, bukan sahaja dalam bidang dakwah tetapi juga kebajikan dan pembangunan sosial.
Dalam pada itu, Awang Tengah turut menyentuh mengenai hala tuju pembangunan negeri Sarawak yang berlandaskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi berpendapatan tinggi.
Katanya, antara fokus utama ekonomi negeri ialah pembangunan ekonomi digital, ekonomi baharu, ekonomi semikonduktor serta ekonomi hidrogen yang memerlukan penglibatan dan kesiapsiagaan masyarakat melalui latihan dan program pendidikan yang disediakan kerajaan.
“Kerajaan menyediakan pelbagai latihan dan program pendidikan untuk meningkatkan kemahiran rakyat.
Masyarakat digalakkan memanfaatkan peluang ini agar tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa inisiatif Kenyalang Gold Card akan terus diteruskan sebagai usaha membantu kesejahteraan rakyat, khususnya golongan warga emas, selain menekankan peranan PERKIM sebagai saluran penyampaian maklumat kepada masyarakat berkaitan bantuan dan inisiatif kerajaan.
Menurutnya, segala bentuk sokongan dan bantuan perlu disalurkan tanpa mengira agama dan kaum selaras dengan prinsip keterangkuman yang menjadi teras pentadbiran kerajaan Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah memaklumkan bahawa pada tahun lalu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah dilantik sebagai Yang Dipertua PERKIM Peringkat Kebangsaan bagi tempoh 2025 hingga 2028, menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekali gus memperkukuh peranan PERKIM di peringkat nasional.
Sementara itu, beliau memuji usaha PERKIM Cawangan Lawas yang telah melaksanakan pelbagai program pendidikan dan dakwah termasuk kelas mengaji, pembelajaran asas agama, program ziarah masyarakat melibatkan pesakit, ibu tunggal dan anak-anak yatim, selain penyaluran bantuan sempena musim perayaan.
Katanya, PERKIM Lawas juga aktif menganjurkan program ceramah dan latihan keagamaan seperti kursus serta fardu kifayah di samping melaksanakan aktiviti sosial dan riadah termasuk program sukan dan gotong-royong bagi meningkatkan tahap kesihatan, perpaduan serta ukhuwah dalam kalangan ahli dan masyarakat setempat.

Beliau turut memaklumkan bahawa kajian semula perancangan bandar Lawas sedang dilaksanakan bagi tujuan penambahan kawasan perumahan serta pembangunan bersepadu yang lebih terancang demi kesejahteraan penduduk.
Mengulas perkembangan PERKIM di daerah itu, Awang Tengah berkata PERKIM Cawangan Lawas bakal memiliki bangunan sendiri yang akan berfungsi sebagai pusat pelaksanaan, penyelarasan dan pengukuhan aktiviti PERKIM di daerah berkenaan.
“Dengan adanya kemudahan ini kelak, saya berharap PERKIM Lawas dapat terus diperkasa sebagai sebuah organisasi yang bukan sahaja aktif dalam dakwah, malah berperanan penting dalam memperkukuh perpaduan, kebajikan dan keharmonian masyarakat,” katanya.



