Hampir sepertiga peruntukan SARA digunakan dalam lima hari

HAMPIR satu pertiga daripada keseluruhan peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah kira-kira RM624.97 juta telah dibelanjakan dalam tempoh lima hari selepas penyalurannya bermula pada 9 Januari lalu.

Situasi itu sekali gus mencerminkan keberkesanan pelaksanaan bantuan berkenaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah menangani tekanan kos sara hidup.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, sejak diperkenalkan, Kerajaan MADANI melaksanakan pelbagai penambahbaikan terhadap SARA dengan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak.

Antara usaha yang dilakukan termasuk memperluas kategori barangan yang boleh dibeli menggunakan kredit SARA serta menambah bilangan premis terlibat bagi memudahkan penerima membuat perbelanjaan.

Menurut beliau, kerajaan turut mengamalkan pendekatan terbuka dan sentiasa menerima cadangan daripada penerima, khususnya bagi menambah baik pelaksanaan program bantuan itu dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, daripada segi maklum balas yang kita dapat daripada kedai yang mengambil bahagian juga amat positif, mereka melihat apabila kredit SARA masuk saja dalam kad pengenalan, mereka semua menikmati peningkatan dalam jualan.

“Berdasarkan data yang baru saya terima, bantuan yang disalurkan sejak 9 Jan lepas, sudah hampir satu pertiga sudah habis dibelanjakan, saya rasa ia (menunjukkan) SARA (merupakan) satu mekanisme yang berkesan untuk menyalurkan bantuan kepada isi rumah,” katanya memetik laporan Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Data Kementerian Kewangan (MOF) menunjukkan Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah merekodkan kadar perbelanjaan SARA tertinggi, masing-masing sebanyak 36 peratus, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan kadar terendah iaitu 21 peratus setakat 13 Januari lalu.

Secara keseluruhan, penerima SARA telah membelanjakan kira-kira RM172.49 juta melibatkan penerima dari 14 negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya dalam tempoh lima hari pertama penyaluran bantuan itu.

Selain memberi manfaat kepada penerima, Johan berkata penyaluran SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut memberikan kesan limpahan ekonomi kepada peniaga dan premis yang terlibat apabila berlaku persaingan sihat dalam menawarkan harga yang lebih rendah.

Katanya, keadaan itu sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan kepada penerima untuk berbelanja secara berhemah.

“Apabila kita melibatkan kedai-kedai runcit, pasar raya dan sebagainya, apa yang dilihat, mereka pun bersaing untuk menarik penerima SARA untuk berbelanja di kedai masing-masing.

“Pada masa yang sama, kita juga memastikan barangan yang boleh dibeli melalui kredit SARA juga meliputi barangan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata MOF turut mempergiat libat urus serta melaksanakan semakan silang data bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi memastikan tiada kumpulan layak tercicir daripada menerima bantuan.

MOF juga melaksanakan program turun padang ke kawasan luar bandar bagi mengurangkan risiko keciciran penerima SARA dan STR.

Sebelum ini, MOF pada 5 Januari lalu memaklumkan lokasi penebusan SARA diperluas kepada lebih banyak kedai kecil dan premis tunggal berhampiran komuniti setempat, selain pasar raya dan rangkaian peruncitan besar.

Kerajaan menyasarkan penyertaan kedai kecil dalam program SARA meningkat kepada 10,000 buah menjelang akhir 2026 bagi melengkapi cawangan pasar raya sedia ada, berbanding lebih 3,000 kedai kecil daripada 9,200 premis berdaftar setakat 23 November lalu.

Bagi tahun ini, penyaluran SARA secara bulanan menunjukkan peningkatan ketara jumlah penerima melibatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM8 bilion berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion pada 2025.

Penyaluran SARA Bulanan 2026 yang bermula pada 9 Januari lalu memanfaatkan lima juta penerima terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan, diikuti pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang bermula 16 Januari 2026.

Bagi mengurangkan risiko keciciran, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Related Posts

Malaysia lonjak kedudukan ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia 2026

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lima tahun apabila melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
ASEAN-Rusia perluas kerjasama ekonomi menerusi pelan strategik baharu

KAZAN – Program Strategik ASEAN-Rusia mengenai Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan 2026-2035 dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan hubungan ekonomi antara ASEAN dan Rusia, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Malaysia lonjak kedudukan ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia 2026

Malaysia lonjak kedudukan ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia 2026

98 calon STPM Pahang dapat PNGK 4.0

98 calon STPM Pahang dapat PNGK 4.0

Bekalan tenaga jangka panjang dari Rusia pastikan kestabilan pasaran domestik – PM

Bekalan tenaga jangka panjang dari Rusia pastikan kestabilan pasaran domestik – PM

Malaysia yakin perjanjian damai AS-Iran mampu redakan konflik Asia Barat

Malaysia yakin perjanjian damai AS-Iran mampu redakan konflik Asia Barat

Anwar hargai sokongan Putin, Xi terhadap usaha keamanan di Iran dan Gaza

Anwar hargai sokongan Putin, Xi terhadap usaha keamanan di Iran dan Gaza

Lebih 40 peratus calon STPM Perlis raih PNGK 3.00 ke atas

Lebih 40 peratus calon STPM Perlis raih PNGK 3.00 ke atas