
SIBURAN – Seramai 130 penduduk Taman Duranda Emas terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air pada awal pagi Jumaat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian banjir tersebut dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan ke lokasi kejadian.
Operasi pemindahan yang bermula kira-kira jam 12.45 tengah malam itu diketuai oleh Penguasa Bomba Kanan II Mohamad Imran Mohamad Sabri bersama enam anggota dengan kekuatan logistik termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua unit bot.
“Kesemua mangsa yang terjejas telah berjaya dipindahkan dengan selamat ke PPS Dewan Taman Duranda Emas. Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 57 lelaki dewasa, 40 wanita dewasa, 22 kanak-kanak, tiga bayi serta enam warga emas,” katanya.
Menurut PGO lagi, operasi tersebut turut melibatkan pemindahan dua individu orang kurang upaya (OKU).
“Setakat laporan ini dikeluarkan, trend air dilaporkan semakin menurun, namun keadaan cuaca di lokasi masih hujan.
“Pasukan bomba akan terus melakukan pemantauan lanjut bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin,” ujarnya.


