JERANTUT – Seramai 41 keluarga dari daerah ini sudah menerima insentif Permata Makmur (Pahang Pride Kid) sejak tahun lalu.
Proses pengagihan sumbangan itu dilakukan secara berfasa oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Norsarfinaz Mohd Azman.
Ketika ditemui pada majlis penyampaian Pahang Pride Kid peringkat FELDA Jengka 24, dekat sini, semalam, beliau berkata, pengagihan bagi penerima di sekitar FELDA Sungai Tekam Utara sudah diselesaikan hujung tahun lalu.
“Untuk keluarga di Tekam Utara, terdapat seramai 32 penerima dan ia sudah diserahkan.
“Manakala baki sembilan lagi, kita selesai serahkan malam ini.
“Insentif ini diteruskan pada tahun ini dan sudah diumumkan dalam Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail awal Disember lalu,” katanya.
![]()
Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud.
Program Pahang Pride Kid diperkenalkan kerajaan negeri pada tahun 2022.
Menerusi program itu, setiap bayi yang baru lahir di Pahang menerima sumbangan daripada kerajaan negeri dalam bentuk peralatan asas bayi dan insentif dalam bentuk Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM250.
Norsarfinaz memaklumkan, permohonan bagi program Permata Makmur tahun ini juga sudah dibuka dan ibu bapa yang baru memperoleh cahaya mata boleh mendaftar di laman sesawang https://permatamakmur.pahang.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.






