
CUACA musim sejuk yang ekstrem di Semenanjung Gaza terus memburukkan penderitaan penduduk awam selepas lebih dua tahun konflik berterusan dengan Israel, kata Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini.
Beliau berkata, hujan lebat yang berterusan menyebabkan krisis kemanusiaan di wilayah itu semakin parah, dengan penduduk terpaksa berlindung di khemah usang yang dipenuhi air serta runtuhan bangunan.
“Lebih banyak hujan, lebih banyak penderitaan, keputusasaan dan kematian,” katanya dalam satu hantaran di platform media sosial X, lapor Anadolu.
Menurut Lazzarini, penduduk Gaza kini bertahan dalam keadaan serba kekurangan, manakala bekalan bantuan kemanusiaan pula tidak dibenarkan masuk pada skala yang diperlukan bagi memenuhi keperluan mendesak penduduk.
Beliau menegaskan, UNRWA mampu meningkatkan usaha bantuan dengan segera sekiranya aliran bantuan dibenarkan masuk tanpa sekatan.
Sementara itu, kerajaan Palestin memaklumkan bahawa Gaza memerlukan kira-kira 200,000 unit perumahan pasang siap bagi menampung keperluan segera penduduk yang kehilangan tempat tinggal susulan cuaca buruk yang melanda wilayah itu.
Menurut kenyataan bilik operasi kerajaan Palestin, ribuan khemah pelarian telah ditenggelami air dan diterbangkan angin kencang akibat sistem cuaca tekanan rendah kutub yang melanda Gaza sejak Sabtu lalu, sekali gus memburukkan lagi keadaan darurat kemanusiaan di wilayah berkenaan.
Sistem tekanan rendah itu merupakan yang ketiga melanda Gaza sepanjang musim sejuk ini, membawa hujan lebat dan angin kencang.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Gaza berdepan cuaca buruk yang berterusan, dengan dua sistem cuaca sebelum ini menyebabkan kematian 17 rakyat Palestin, termasuk empat kanak-kanak, akibat runtuhan bangunan yang rosak teruk akibat serangan Israel serta banjir dan kemusnahan puluhan ribu khemah pelarian.
Keadaan cuaca semasa turut menimbulkan risiko besar kepada penduduk yang terpaksa berlindung di khemah uzur atau bangunan separa runtuh yang berbahaya, susulan serangan berulang tentera Israel sejak Oktober 2023.
Sejak serangan itu bermula, tentera Israel dilaporkan telah membunuh lebih 71,200 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,200 yang lain, sekali gus meninggalkan Gaza dalam keadaan musnah teruk.






