Gol Watkins kecewakan Chelsea, Villa sedia cabar Arsenal

PEMAIN gantian, Ollie Watkins memastikan cabaran Aston Villa memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) terus menyala apabila meledak dua gol ketika menang 2-1 ke atas Chelsea di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Penyerang antarabangsa England itu sebelum ini hanya menjaringkan tiga gol sepanjang musim sebelum dimasukkan oleh Unai Emery bagi aksi separuh masa kedua, yang menyaksikan dia mencipta dua jaringan penting.

Kemenangan ke-11 berturut-turut itu membolehkan Villa yang kini menghuni tangga ketiga merapatkan jurang kepada tiga mata di belakang pendahulu Arsenal, yang akan mereka temui awal pagi Rabu ini.

Kurang sebulan lalu Chelsea adalah pencabar terdekat Arsenal, namun hanya satu kemenangan daripada enam perlawanan liga sejak itu menyaksikan mereka merudum ke tangga kelima.

Kelab London itu terpaksa menelan pahit kekecewaan kerana gagal memanfaatkan penguasaan separuh masa pertama walaupun mendahului 1-0 ketika rehat.

Moises Caicedo, Cole Palmer dan Enzo Fernandez mempamerkan aksi bertenaga dengan beberapa percubaan dihalang ketika Chelsea menguasai permainan sebelum memecah kebuntuan pada minit ke-37.

Sepakan penjuru lencong Reece James ditampan masuk Joao Pedro dengan penjaga gol Villa, Emiliano Martinez gagal bertindak kemas di gawang.

Ia adalah gol kedua Joao Pedro dalam dua perlawanan selepas dia turut meledak jaringan untuk melengkapkan kebangkitan daripada ketinggalan 0-2 ketika seri 2-2 menentang Newcastle hujung minggu lalu.

Kebangkitan itu meredakan tekanan ke atas Enzo Maresca selepas prestasi hambar kebelakangan ini, di samping khabar angin mengaitkannya dengan Manchester City sebagai calon pengganti Pep Guardiola serta rungutannya mengenai kurang sokongan kelab.

Namun menentang Villa, situasinya berbeza apabila Chelsea mengendur pada separuh masa kedua dan pelawat mula mendominasi perlawanan.

Emery mengubah rentak permainan dengan melakukan tiga pertukaran serentak apabila memasukkan Watkins bersama bekas pemain sayap Chelsea, Jadon Sancho dan Amadou Onana pada minit ke-60.

Penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez pantas keluar dari gawang untuk menafikan percubaan Boubacar Kamara, namun tidak lama kemudian Watkins berjaya menyamakan kedudukan.

Watkins menemui ruang di antara dua pertahanan tengah Chelsea dan walaupun rembatannya ditepis Sanchez, bola melantun semula mengenai dirinya sebelum masuk menerjah jaring.

Maresca yang digantung daripada berada di tepi padang cuba menyekat momentum Villa dengan mengeluarkan Palmer, keputusan yang jelas tidak disenangi pemain itu.

Villa bagaimanapun semakin bertenaga dan memastikan kemenangan apabila Watkins melompat tinggi untuk menanduk masuk sepakan penjuru Youri Tielemans, sekali gus menyamai rekod deretan kemenangan terbaik kelab itu sejak 1914.

Lebih penting, anak buah Emery kini meninggalkan Chelsea 10 mata di belakang dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Related Posts

PM hargai komitmen Selangor jayakan SUKMA

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai komitmen kerajaan Selangor dalam memastikan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berlangsung dengan lancar dan meriah. Beliau menyampaikan penghargaan itu kepada…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Selangor juara SUKMA, 1 September diisytihar cuti peristiwa

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengisytiharkan 1 September depan sebagai cuti peristiwa bagi meraikan kejayaan kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026. Pengumuman itu dibuat oleh…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

70 lot kedai ‘bundle’ musnah dijilat api

  • By Fatin
  • August 27, 2026
70 lot kedai ‘bundle’ musnah dijilat api

Anggota Marin cedera jari, perut terkena tembakan semasa bertugas

  • By Fatin
  • August 27, 2026
Anggota Marin cedera jari, perut terkena tembakan semasa bertugas

RCI Tabung Haji: Hormati titah YDPA, jangan cipta persepsi

RCI Tabung Haji: Hormati titah YDPA, jangan cipta persepsi

Wisma Putra terima laporan 11 rakyat Malaysia terputus hubungan di Nepal

Wisma Putra terima laporan 11 rakyat Malaysia terputus hubungan di Nepal

Peniaga Dataran Kampung Wai kecewa dakwa terima notis roboh gerai

Peniaga Dataran Kampung Wai kecewa dakwa terima notis roboh gerai

Pengeluar komponen automotif perlu teroka teknologi robot humanoid

Pengeluar komponen automotif perlu teroka teknologi robot humanoid