
TATAU – Seorang individu ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 30 buah rumah setinggan di Pekan Sangan pada lewat malam Khamis.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan panggilan kecemasan diterima pada jam 11.18 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak di seberang sungai tanpa akses jalan raya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kebakaran itu melibatkan 31 buah rumah setinggan berstruktur tidak kekal dengan 30 buah rumah musnah sepenuhnya manakala sebuah rumah berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas pasukan penyelamat.
“Mayat seorang mangsa ditemui pada jam 2.36 pagi di kawasan kebakaran. Identiti mangsa masih dalam proses pengesahan,” katanya dalam kenyataan.

Operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan kebakaran semula. Seramai tujuh anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan Hilux.
Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.




