
KUCHING – Pelaksanaan program bantuan secara berterusan dilihat sebagai pendekatan berkesan dalam meringankan beban golongan memerlukan, selain menyemai nilai kemanusiaan serta memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penganjuran program seumpama itu mencerminkan keprihatinan serta kerjasama erat antara sektor swasta dan kepimpinan setempat dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan bersifat sementara, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan bagi membantu meringankan beban masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pra Krismas Parlimen Santubong anjuran Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak di Kampung Sungai Agas Baru, Jalan Matang pada Isnin.
Sementara itu, Presiden PEKEMA Sarawak, Datuk Ismail Abang Saufi berkata, penganjuran program berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan persatuan itu.
Menurut beliau, sebanyak 300 bakul makanan diagihkan kepada penduduk di kawasan Parlimen Santubong, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan serta keharmonian antara kaum.
Beliau menambah, budaya berkongsi rezeki dan saling membantu merupakan asas penting kepada kesejahteraan masyarakat majmuk, selain berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban penerima serta membawa kegembiraan menjelang musim perayaan.
Dalam pada itu, beliau bersama rombongan PEKEMA turut menziarahi seorang orang kurang upaya (OKU) fizikal Brayan Rangga di kediamannya di Bandar Baru Samariang bagi menyampaikan bantuan secara terus.







