
AYER KEROH – Hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, pada Rabu bertukar menjadi kecoh selepas pembangkang membangkitkan dakwaan skandal membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan.
ADUN (PN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dalam ucapan penangguhannya merujuk kepada satu laporan polis yang tular di media sosial, kononnya dibuat suami seorang wanita mendakwa isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan seorang ADUN kerajaan.
Tuduhan itu mendapat tentangan hebat daripada blok kerajaan, yang mahukan tindakan tegas diambil kepada ADUN Pas berkenaan kerana melanggar peraturan selain menyalahgunakan ruang dewan untuk membuat tuduhan bermotif peribadi.
Keadaan itu menyebabkan Timbalan Speaker, Kerk Chee Yee mengemukakan Peraturan Mesyuarat 20(1)(m)(1) terhadap ADUN berkenaan kerana membuat sangkaan jahat serta tuduhan peribadi terhadap seseorang ahli.
Beliau turut mengingatkan semua ahli dewan bahawa ucapan penangguhan bukan ruang untuk mengemukakan tuduhan tidak berasas yang boleh menjejaskan integriti institusi legislatif.
Terdahulu, kekecohan itu bermula apabila Muhammad Jailani membangkitkan satu laporan polis yang dibuat seorang lelaki dipercayai suami kepada wanita berkenaan dengan menyatakan seorang ADUN mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.
Keadaan menyebabkan ADUN (BN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bangun dan membidas kenyataan itu sambil menyifatkan Muhammad Jailani sebagai individu tidak boleh dipercayai berikutan tindakannya yang tidak konsisten khususnya berkaitan soal integriti.
“Sepatutnya dia membangkitkan isu rakyat di Rembia, bukannya perkara yang tidak masuk akal ini. Lain kali kalau nak bangkitkan sesuatu isu, bangkitkanlah isu yang rakyat nak dengar, bukannya isu remeh yang menyentuh peribadi orang lain,” katanya.
Pada masa sama, ADUN (BN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halim menegaskan wanita yang dikaitkan dalam dakwaan tersebut turut membuat laporan polis menafikan wujudnya skandal seperti ditularkan.
Beliau menambah, kes berkenaan sedang dibicarakan di mahkamah, sekali gus menyebabkan Muhammad Jailani melanggar Peraturan Mesyuarat 20(1)(g) yang menghalang sebarang rujukan terhadap kes mahkamah.
“Rembia (Muhammad Jailani) melanggar Peraturan Mesyuarat 20(1)(g) yang melarang seseorang ahli dewan untuk menyebut apa juga perkara sudah dibawa ke mahkamah serta membuat sangkaan jahat terhadap ahli dewan lain mengikut Peraturan Mesyuarat 20(1)(m)(1).
“Kalau nak bawa sesuatu isu kena berfakta, bukan buat sesuka hati saja,” katanya.
Beberapa ADUN blok kerajaan turut mengambil bahagian untuk menempelak Muhammad Jailani, antaranya ADUN (BN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin; ADUN (BN) Telok Mas, Datuk Abd Razak Abd Rahman; ADUN (BN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar; ADUN (BN) Gadek, Datuk VP Shanmugam; ADUN (BN) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem serta ADUN (BN) Serkam, Datuk Zaidi Attan.
Chee Yee kemudiannya membuat keputusan untuk menghentikan ucapan Muhammad Jailani serta-merta sebelum diteruskan dengan ucapan penangguhan ADUN (BN) Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abd Azis.


