
KUCHING – Sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di Sarawak setakat 8 pagi, 10 Disember 2025, susulan kejadian banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di negeri ini.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak memaklumkan, jumlah keseluruhan Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat ialah seramai 62 keluarga, membabitkan 191 mangsa, dengan trend pemindahan menunjukkan peningkatan.
Di Bintulu, sebuah PPS telah dibuka di Dewan Suarah yang menempatkan 14 KIR melibatkan 54 mangsa, dan jumlah tersebut kekal setakat ini.
Sementara itu, di Miri, tiga PPS masih beroperasi. PPS Dewan Bulan Sabit Merah menempatkan enam KIR melibatkan 31 mangsa akibat banjir serta satu KIR melibatkan empat mangsa berikutan tanah runtuh, dengan jumlah mangsa kekal.
PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Angus pula merekodkan seramai tiga KIR melibatkan 13 mangsa, juga kekal, manakala PPS Sekolah Kebangsaan Suai Niah mencatatkan peningkatan kepada 38 KIR melibatkan 89 mangsa.
Pihak berkuasa akan terus memantau keadaan semasa dan menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.





