
KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan luar jangka dua kerusi di Sabah, iaitu kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata notis bagi kekosongan kerusi Parlimen diterima daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul pada 8 Disember.
Manakala notis kekosongan kerusi DUN pula diterima daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya pada 9 Disember 2025.
Kekosongan kedua-dua kerusi itu berlaku susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21(5) Perlembagaan Negeri Sabah memperuntukkan bahawa mana-mana kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan SPR.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas pada 16 Disember ini.
“Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.
“Mesyuarat tersebut akan membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kedua-dua kerusi, termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, daftar pemilih yang digunakan serta persiapan lain yang berkaitan,” jelasnya menerusi kenyataan media di sini pada Selasa.
SPR memaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas itu selesai.





