
KUCHING –Sarawak terus mengiktiraf peranan penting pengamal media dalam pembangunan negeri apabila mengumumkan insentif khas berjumlah RM700 secara one-off kepada wartawan dan pengamal media swasta yang berdaftar dengan enam persatuan media di Sarawak setakat 1 Disember 2025.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan menghargai pengorbanan dan profesionalisme media yang menjadi penyampai maklumat tepat kepada rakyat, sekali gus membantu memperkukuh pembangunan sosioekonomi negeri.
Menurut beliau, peranan media sebagai rakan strategik kerajaan amat signifikan khususnya dalam memberi kefahaman kepada rakyat tentang dasar, inisiatif dan hala tuju pembangunan Sarawak.
“Pengamal media telah memberi impak besar kepada pembangunan negeri, dan insentif ini adalah tanda penghargaan kerajaan terhadap sumbangan mereka,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS, Datuk Abdullah Saidol, menyifatkan keputusan itu sebagai bukti jelas bahawa Premier sentiasa memberi perhatian terhadap peranan warga media sebagai rakan strategik kerajaan.
Menurut beliau, media memainkan fungsi penting dalam menyampaikan maklumat mengenai agenda pembangunan dan inisiatif ekonomi baharu yang diperkenalkan kerajaan, agar dapat difahami secara menyeluruh oleh masyarakat.
“Premier mengiktiraf bahawa warga media ialah jambatan maklumat antara kerajaan dan rakyat. Peranan ini penting untuk memastikan setiap dasar dan usaha kerajaan difahami objektifnya demi meraih kerjasama dan sokongan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, atas kepentingan tersebut, permohonan untuk menyalurkan sumbangan khas kepada pengamal media telah disokong dan diluluskan dengan mudah oleh Premier sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka.
Insentif RM700 itu dijangka dibayar dalam tempoh terdekat dan menjadi satu lagi komitmen kerajaan dalam menghargai peranan media sebagai penghubung maklumat yang memastikan pembangunan negeri dapat dirasai oleh seluruh rakyat.




