KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini membawa satu mesej yang tidak boleh diabaikan: peta kuasa di negeri ini sedang disusun semula oleh tangan-tangan muda. Generasi baharu pengundi yang lebih terdidik, lebih skeptis, lebih bebas daripada kesetiaan tradisi, kini menjadi penentu hala tuju politik Sabah. Mereka bukan lagi ‘undi tambahan’, tetapi ‘paksi penentu’.
Landskap Sabah yang dahulunya dilihat statik kini bergerak dalam gelombang baharu. Pengundi muda dan pengundi pertama kali muncul sebagai kuasa kritikal yang tidak lagi terpesona dengan retorik lama atau janji manis yang tidak berubah menjadi realiti. Mereka menilai politik dengan kerangka pragmatis: siapa bekerja, dialah yang layak diberi mandat.
Pada masa sama, PRN ini turut memperlihatkan kemerosotan pengaruh dua jenama politik nasional terbesar, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). PH semakin sukar meyakinkan pengundi akar umbi, manakala BN semakin hilang pengaruh tradisional yang pernah mereka nikmati berdekad-dekad. Tetapi kehilangan ini bukan fenomena rawak; ia adalah cerminan perubahan struktur pemikiran pengundi Sabah.
Fenomena ini turut termasuk pengundi Cina di Sabah. Walaupun DAP dianggap sebagai parti yang mewakili suara komuniti Cina secara nasional, pengundi Cina Sabah menunjukkan sikap lebih skeptikal. Mereka menolak DAP bukan semata-mata kerana etnik atau ideologi, tetapi kerana parti itu kurang menunjukkan akar tempatan. Parti tempatan seperti Warisan lebih dipercayai kerana calon mereka dikenali, memahami budaya tempatan, dan mampu menyesuaikan naratif politik dengan realiti Sabah. Ini menunjukkan bahawa pengundi Cina di Sabah bersikap pragmatik.
Apa yang berlaku di Sabah bukan sekadar undi protes. Ianya satu shift dalam budaya politik. Generasi muda menolak politik emosi. Mereka menolak mitos lama yang memaparkan Sabah sebagai tanah yang boleh dipujuk hanya dengan janji pembangunan. Sebaliknya, mereka mendesak politik yang praktikal, konstruktif dan segera memberi kesan kepada kehidupan seharian.
Akses air bersih, internet stabil, peluang kerja, pembangunan luar bandar, kos sara hidup dan ruang mobiliti sosial menjadi agenda utama mereka. Pengundi muda di Sabah tidak anti-kerajaan; mereka anti-retorik. Mereka tidak anti-parti; mereka anti-kelesuan idea. Mereka tidak mencari idola; mereka mencari pelaksana.
PH dan BN tidak kalah kerana mereka ditolak sepenuhnya, sebaliknya mereka kalah kerana gagal menawarkan naratif Sabah yang segar. PH sering dianggap tidak cukup agresif dalam isu Sabah, manakala BN masih terpalit legasi lama yang belum bersih daripada persepsi negatif. Kedua-duanya tidak hilang kekuatan, tetapi hilang peranan sebagai ‘kuasa pusat’ dalam imaginasi rakyat Sabah.
Hakikatnya, rakyat Sabah tidak menolak Kerajaan Persekutuan. Mereka menolak ketidakmampuan parti-parti nasional memahami realiti lokal. Mereka tidak mahu menjadi lanjutan kepada naratif Semenanjung; mereka mahu naratif yang mencerminkan identiti, keperluan dan masa depan Sabah sendiri.
Keputusan PRN kali ini membuka ruang baharu dalam hubungan politik antara Sabah dan Persekutuan. Tiada satu pun parti yang mampu berdiri sendiri. Ini menghasilkan ekosistem politik baharu yang saling bergantung di mana parti tempatan memerlukan Kerajaan Persekutuan untuk dana pembangunan dan hubungan strategik federal-negeri. Kerajaan Persekutuan pula memerlukan Sabah untuk kelangsungan kestabilan nasional, terutama dalam konteks majoriti tipis di Parlimen.
Ringkasnya, tidak ada mana-mana aktor politik yang benar-benar dominan. Semua memerlukan semua.
PRN Sabah telah membunyikan ‘loceng amaran’ kepada parti-parti nasional dan gabungan besar. Jika mereka ingin bangkit semula untuk pilihan raya akan datang, transformasi mendalam perlu berlaku.
Reformasi jentera akar umbi
Parti perlu membina jentera ‘data-driven’ yang memahami sosio-demografi setiap kawasan. Era jentera tradisional yang hanya aktif musim pilihan raya sudah tamat.
Menampilkan pemimpin muda berkaliber
Generasi muda Sabah tidak mahu ‘tokoh import’. Mereka mahu pemimpin tempatan yang mewakili suara dan pengalaman mereka sendiri.
Menyelesaikan isu asas dengan cepat
Isu air, internet, pekerjaan dan mobiliti sosial yang tidak boleh ditangguhkan lagi. Politik Sabah bergerak melalui bukti kerja, bukan manifesto.
Komunikasi baru untuk generasi baru
Parti perlu beralih daripada ceramah berskala besar kepada pendekatan ‘komuniti mikro’. Pengundi muda lebih mudah dengan komunikasi jujur, ringkas, dan berbentuk dialog.
Reformasi dalaman
Parti perlu membuka ruang kepada bakat baharu dan memberi laluan kepada pemimpin lama untuk berundur secara terhormat. Regenerasi kepimpinan bukan opsyen sebaliknya keperluan.
PRN kali ini menegaskan satu hakikat: Sabah bukan pinggiran Malaysia. Sabah adalah pusat eksperimen politik generasi baharu. Sabah adalah barometer masa depan politik nasional. Dan generasi muda Sabah telah memecahkan paksi lama yang membentuk politik negeri ini.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)






