
KUCHING – Kerjasama antara kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan mampu memantapkan sektor pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan sebagai pemacu ekonomi baharu negeri, dengan menekankan pembangunan yang inklusif, mampan dan memberi nilai tambah tinggi kepada rakyat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif penubuhan Special Tourism Investment Zones (STIZ) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 menunjukkan komitmen Persekutuan dalam menarik lebih banyak pelaburan strategik ke dalam sektor pelancongan negara.
Menurut beliau, Sarawak menyambut baik langkah tersebut dan akan mengadakan libat urus lanjut bagi memastikan pelaksanaannya bersesuaian dengan potensi serta hala tuju pembangunan negeri.
Katanya, STIZ berperanan memacu pelaburan swasta, mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan sektor pelancongan berkualiti tinggi secara mampan.
Abdul Karim turut mengalu-alukan kelulusan RM11 juta melalui Rolling Plan 1 bagi menaik taraf Taman Jubli Bukit Aup di Sibu, yang disifatkannya sebagai bukti komitmen Persekutuan terhadap pembangunan Zon Tengah. Projek berkenaan dijangka memperkukuhkan daya tarikan ekopelancongan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Sarawak turut menerima peruntukan RM3.87 juta melalui Program PPUN bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi melaksanakan 16 projek penambahbaikan infrastruktur pelancongan di pelbagai lokasi,” katanya.
Inisiatif berkenaan meliputi penambahbaikan kemudahan di Telaga Air, Taman Negara Lambir, Bako, Semenggoh dan Taman Tun Ahmad Zaidi, serta naik taraf sistem elektrik di Taman Negara Niah.
Pembangunan fasiliti homestay di Santubong, Julau, Serian, Padawan dan Ba’kelalan turut diberi perhatian, selain kerja naik taraf trek hutan, pintu gerbang dan platform buaya di Taman Tumbina Bintulu. Sarawak juga menambah baik Taman Periuk Kera di MPP dan infrastruktur di Kampung Budaya Sarawak.
Mengulas mengenai Homestay Sarawak, Abdul Karim berkata, program itu terus berkembang dengan 68 kluster berdaftar yang melibatkan 866 pengusaha serta menyediakan 1,836 bilik.
“Sepanjang Januari hingga Oktober, program ini menjana RM7.4 juta pendapatan, membuktikan potensi besar pelancongan komuniti berasaskan budaya dan alam semula jadi,” ujarnya.
Dalam industri kraftangan pula, Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak mencatat prestasi memberangsangkan dengan jualan RM20.1 juta sehingga Oktober.
Festival Kraf Borneo 2025 yang disertai 111 usahawan turut mencatat jualan RM2.4 juta, melepasi sasaran RM2.2 juta, sekali gus menyerlahkan kekuatan produk seni, budaya dan warisan negeri.
Beliau turut menekankan peranan penting agensi Persekutuan seperti JKKN Sarawak dan RTM Sarawak dalam memacu potensi seni kreatif tempatan melalui program berimpak tinggi termasuk Festival Gendang Sarawak 2025, Anugerah Seni Sarawak 2025, Pertandingan Bintang Kecil Peringkat Kebangsaan dan Konsert Suara 34 Puncak Prestasi.
Usaha ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem seni dan budaya, tetapi turut meningkatkan pengaruh Sarawak di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Kerjasama berterusan antara Sarawak dengan kerajaan Persekutuan akan terus menjadi asas kepada pembangunan sektor pelancongan, kreatif dan warisan. Sarawak komited menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia melalui pembangunan yang dinamik, pemerkasaan komuniti serta penyediaan kemudahan moden dan berkualiti tinggi,” ujar beliau.
Beliau menambah bahawa aspirasi ini selari dengan visi menjadikan Sarawak sebagai sebuah ekonomi budaya dan pelancongan yang kompetitif, progresif dan berdaya saing di peringkat global.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)






