KUANTAN – Hujan lebat berterusan sejak kelmarin dengan fenomena air pasang mengakibatkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat.
Sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sekitar Kuantan, menempatkan 232 mangsa daripada 79 keluarga.
PPS dibuka di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Kuantan yang menempatkan 20 mangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang (117 mangsa), SK Kempadang (53 mangsa), SK Pelindung dan SK Beserah (10 mangsa), SK Cerating dan SK Sungai Ular (23 mangsa).
Hasil tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 9 pagi tadi di beberapa kawasan terjejas sekitar Balok dan Beserah mendapati keadaan banjir sudah surut, kecuali sekitar Sungai Karang Darat.
Beberapa rumah masih digenangi air dan terdapat pokok tumbang menimpa kabel elektrik.
Berdasarkan pemantauan, paras air sungai yang melimpah juga semakin surut, bagaimanapun hujan masih melanda di sesetengah kawasan di daerah ini.
Sementara itu, berdasarkan info Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, seramai 524 mangsa banjir berada di 22 PPS yang dibuka di empat daerah terjejas iaitu di Raub, Lipis, Maran dan Kuantan sehingga jam 9 pagi tadi.





