
KERAJAAN merekodkan kutipan duti eksais minuman bergula sebanyak RM73.81 juta bagi tempoh Januari hingga November 2025, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan hasil duti eksais yang dikutip sejak pelaksanaannya mencecah RM521.35 juta.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bahawa semua hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, selaras dengan Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan.
“Pengenaan duti eksais ke atas SSB berkuat kuasa 1 Julai, 2019 pada kadar 40 sen seliter berdasarkan nilai ambang kandungan gula yang ditetapkan dan kemudiannya dinaikkan kepada 50 sen seliter mulai 1 Jan, 2024 dan terkini kepada 90 sen seliter mulai 1 Jan, 2025.
“Kenaikan kadar ini merupakan antara langkah kerajaan untuk mengurangkan pengambilan minuman tinggi gula dalam kalangan rakyat Malaysia serta menyokong kempen War on Sugar yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Kementerian itu menjawab secara bertulis pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH–Pulai) mengenai jumlah kutipan duti eksais minuman bergula serta sejauh mana hasil ini disalurkan kepada pembekalan ubat diabetes dan pelestarian Program Dialisis Peritoneal.
Dalam pada itu, MoF berkata, kerajaan turut menyalurkan RM25 juta daripada kutipan duti eksais tersebut kepada KKM bagi melaksanakan program advokasi War on Sugar, termasuk pembelian ubat SGLT-2.
“Ia bertujuan untuk merawat pesakit Diabetes Mellitus dan menyediakan kemudahan Dialisis Peritoneal untuk merawat pesakit buah pinggang tahap akhir, selaras dengan komitmen kerajaan melalui Belanjawan 2025,” ujarnya.








