
TAWAU – Kejayaan pelari tempatan Sabah, Sheron Sariman muncul sebagai detik paling menyentuh hati dalam Edisi Ke-4 Tropical Rainforest Run 2025 apabila beliau bukan sahaja mempertahankan gelaran juara kategori Terbuka Lelaki, malah memecahkan rekod perlumbaan dengan penuh ketabahan di laluan denai hutan hujan Tawau.
Sheron yang menamatkan larian 28KM dengan catatan 3:16:20 mengatasi rekod peribadinya tahun lalu (3:23:45) sekali lagi mengangkat nama Sabah dan Malaysia di hadapan pelari antarabangsa.
Bagi Sheron, pencapaian itu bukan sekadar soal masa, tetapi perjalanan penuh disiplin dan keyakinan.
“Saya sangat gembira dan bersyukur dapat menang lagi tahun ini.
“Saingan sangat kuat, tetapi saya gembira prestasi saya kekal baik, tambahan pula dapat memecahkan rekod,” katanya di sini pada Ahad sambil mengakui laluan teknikal dan pendakian curam Gunung Lucia sebagai cabaran terbesar.
Laluan 28KM itu, yang merentasi hutan hujan asli dan denai menurun yang licin, menuntut ketahanan mental yang tinggi.
Namun di situlah Sheron sekali lagi membuktikan keunggulannya.

Selain Sheron, pemenang kategori terbuka wanita, Jane Wanjiru Muriuki dari Kenya, menyifatkan penyertaan pertamanya di Sabah sebagai pengalaman yang merendah diri.
“Ini pertama kali saya berlari di Sabah. Laluannya sangat mencabar, tetapi Tuhan beri saya kekuatan. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini,” katanya.
Pelari veteran Kenya, Maithya Onesmus Mathangu, 51, pula menyentuh hati ramai apabila bangga menamatkan perlumbaan sebagai juara Veteran Lelaki.
“Menang pada usia saya sekarang bukan mudah. Ini kali kedua saya berlumba di Sabah, tahun lalu saya tempat kedua,” katanya.
Sementara itu, Teo Lian Geok dari Malaysia, yang tidak menjangka mengungguli kategori Veteran Wanita, percaya kemenangan datang daripada disiplin sebagai pelari berpengalaman.
“Saya tidak sangka menang kerana ada pelari hebat dari Kenya. Tapi latihan konsisten sangat membantu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffrey Jimit berkata acara ini terus menghubungkan pelari dengan keunikan biodiversiti taman itu.
“Setiap tahun acara ini memperlihatkan keindahan Taman Bukit Tawau daripada pokok tropika tertinggi dunia, tiga puncak gunung berapi dorman hingga kawasan mata air sulfur,” katanya.
Seramai 300 peserta dari lapan negara menyertai acara tahun ini yang turut menawarkan dua kategori iaitu 28KM dan Fun Run 6KM.
Acara ini juga memberi mata International Trail Running Association (ITRA) kepada peserta 28KM, sekali gus mengangkat Taman Bukit Tawau sebagai destinasi larian denai bertaraf antarabangsa.
Acara ini dianjurkan Lembaga Pelancongan Sabah melalui Sri Pelancongan Sabah dengan kerjasama Sabah Parks serta disokong Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan Tourism Malaysia.







