PRN Sabah: Slogan masih laku di hati pengundi?

DALAM setiap kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, parti-parti politik kembali muncul dengan slogan yang memukau. PRN Sabah 2025 sekali lagi memperlihatkan pesta kata-kata manis misalnya “Selamatkan Sabah”, “Rumah Kita, Kita Jaga”, “Bikin Balik Sabah”, “Kasi Bagus Sabah,” semuanya tampil dengan bahasa yang indah, seolah-olah menjanjikan sebuah negeri yang bakal bangkit luar biasa. Namun, sejauh mana slogan-slogan ini benar-benar diyakini rakyat, khususnya pengundi muda yang pertama kali membuang undi?

Hakikatnya, hampir semua parti utama yang bertanding kali ini pernah menerajui kerajaan negeri secara langsung atau melalui gabungan. Dan di situlah punca skeptisisme rakyat muncul, kerana rekod pemerintahan mereka sering tidak sekukuh slogan yang dilaungkan.

Sejarah ringkas PRN Sabah

Sejak 1967, Sabah sudah melalui lebih 10 pertukaran kerajaan, termasuk beberapa kejatuhan kerajaan melalui lompat parti. Pada 2018, kerajaan BN tumbang selepas lebih 20 tahun memerintah. Kerajaan Warisan pula naik, namun hanya bertahan dua tahun sebelum digulingkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpaling tadah. Kemudian muncul Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 2020, dan kini Sabah kembali menuju PRN dengan landskap politik yang terus berubah dan tidak pernah benar-benar stabil.

Rekod sejarah ini membentuk satu persepsi penting bahawa Sabah sentiasa terperangkap dalam kitaran harapan dan kekecewaan, selain slogan politik yang sering menjadi pembungkus kepada janji-janji yang gagal ditunaikan.

Slogan GRS “Rumah Kita, Kita Jaga” membawa mesej kebersamaan, tetapi isu asas seperti air, infrastruktur luar bandar, dan ketidaktentuan politik sejak 2020 masih menjadi rungutan. Jika “rumah” benar-benar dijaga, mengapa masalah-masalah struktur kekal membelenggu?

Warisan tampil dengan slogan segar “Selamatkan Sabah”, namun semasa menerajui kerajaan, ia turut terpalit dengan kritikan kelembapan pentadbiran dan ketidakstabilan politik, di samping isu jenayah rasuah yang dikaitkan dengan bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas menteri daripada parti itu, turut menjejaskan persepsi.

BN kembali dengan slogan “Bikin Balik Sabah”, namun rakyat Sabah tidak pernah lupa era panjang pentadbiran BN yang dikaitkan dengan politik patronage serta kelemahan pembaharuan ekonomi dan sosial.

PN dan Bersatu Sabah pula melaungkan “Kasi Bagus Sabah”. Namun rakyat melihat parti ini juga pernah berada dalam blok kerajaan, maka persoalan timbul: jika benar ingin “kasi bagus”, mengapa tidak berlaku sewaktu peluang kuasa diberikan?

STAR, walaupun membawa slogan penuh semangat “Kalau bukan kita, siapa lagi?”, tetap sebahagian daripada GRS dan tidak dapat lari daripada kritikan prestasi kerajaan.

Realitinya jelas, hampir semua parti yang kini melaungkan slogan indah sudah pernah diberi peluang memerintah, tetapi rekod mereka tidak selalu mencerminkan retorik.

Apa penilaian pengundi muda?

Mengikut anggaran Suruhanjaya Pilihan Raya, hampir 30 peratus pengundi Sabah pada PRN kali ini ialah pengundi berusia 18–29 tahun, dengan sebahagiannya adalah pengundi kali pertama. Generasi inilah yang menjadi penentu sama ada slogan-slogan parti masih relevan atau sekadar hiasan politik.

Bagi generasi ini, slogan bukan lagi alat propaganda yang kuat. Apa yang mereka mahu ialah konsistensi rekod, bukti integriti, dan komitmen terhadap dasar-dasar realistik yang boleh menyelesaikan masalah hidup mereka hari ini, bukan janji abstrak. Lalu, sejauh mana slogan masih berfungsi?

Jawapannya, slogan masih penting sebagai identiti kempen tetapi fungsinya semakin terhad. Era di mana satu slogan mampu mempengaruhi gelombang besar pengundi Sabah sudah berlalu.

Di Sabah, di mana pergolakan politik telah berulang terlalu banyak, rakyat kini mahukan kerajaan yang stabil lebih daripada slogan yang lantang di samping pemimpin yang konsisten lebih daripada pemimpin yang hanya pandai bepidato.

Ketidakstabilan politik sejak 2018 telah menjadikan pengundi lebih berhati-hati. Mereka sedar bahawa kata-kata indah bukan jaminan pemerintahan yang baik.

Justeru, PRN Sabah 2025 mungkin menjadi pilihan raya paling penting dalam masa dua dekad kerana ia menentukan sama ada negeri itu terus terperangkap dalam kitaran retorik atau akhirnya bergerak ke arah kestabilan sebenar.

Slogan-slogan parti politik kali ini, walaupun indah dan tersusun rapi, tidak lagi dapat menyembunyikan rekod silam mereka. Pertimbangan pengundi, terutamanya anak muda bukan pada kata-kata, tetapi pencapaian.

Jika parti-parti ini mahu slogan mereka kembali berkuasa, mereka memerlukan sesuatu yang lebih kukuh daripada retorik: iaitu bukti.

Sabah sudah terlalu lama menunggu untuk melihat kerajaan yang benar-benar bekerja, bukan hanya pandai berjanji. Dan pada PRN kali ini, mungkin inilah kali pertama slogan bukan lagi menjadi penentu kemenangan.

*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

Semua universiti termasuk IPTS perlu ada jabatan AI – PM

SUNGAI PETANI – Semua universiti termasuk institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu mewujudkan jabatan kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang tersebut. Perdana Menteri, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan perlu diutamakan – PM

SUNGAI PETANI – Perdebatan politik di Johor dan Negeri Sembilan seharusnya tertumpu kepada keadilan dan peluang sama rata, bukan retorik perkauman atau politik perpecahan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Enam sekeluarga termasuk bayi maut, SUV bertembung lori tanah

Enam sekeluarga termasuk bayi maut, SUV bertembung lori tanah

Bukan DAP arah Aminuddin bubar DUN, itu keputusan konsensus pimpinan tertinggi PH

Bukan DAP arah Aminuddin bubar DUN, itu keputusan konsensus pimpinan tertinggi PH

PRN Johor penentu kebangkitan BN, Zahid yakin ‘Gelombang Biru’ kembali warnai negara

PRN Johor penentu kebangkitan BN, Zahid yakin ‘Gelombang Biru’ kembali warnai negara

SMK Saribas ungguli Perarakan Gawai Dayak Betong 2026

SMK Saribas ungguli Perarakan Gawai Dayak Betong 2026

Banjaran Nakawan aset strategik negara, bukan sekadar hutan – Raja Perlis

Banjaran Nakawan aset strategik negara, bukan sekadar hutan – Raja Perlis

Semua universiti termasuk IPTS perlu ada jabatan AI – PM

Semua universiti termasuk IPTS perlu ada jabatan AI – PM