Rufinah tekad selesaikan isu air bersih, pendidikan dan infrastruktur di Tulid

PENSIANGAN – Calon PH bagi DUN Tulid, Datin Rufinah Pengeran bertekad untuk membawa penyelesaian terhadap isu-isu asas rakyat pedalaman, khususnya melibatkan bekalan air bersih, pendidikan dan infrastruktur jalan raya.

Sebagai wanita, ibu dan bekas pendidik berpengalaman, Rufinah berkata, pengalaman hidupnya menjadikan beliau peka terhadap kesusahan rakyat di kawasan pedalaman.

“Di kawasan pedalaman kita di Pensiangan ini, memang jauh beza dengan kawasan bandar.

“Itulah saya bertekad mencebur diri dalam politik untuk membantu rakyat yang memerlukan akses kemudahan asas,” Katanya semasa berucap Ceramah Kempen di Kampung Tiong, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tulid, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Rufinah menyatakan bahawa antara fokus utamanya adalah menyelesaikan isu air bersih di kawasan Tulid ini.

“Saya sudah berjalan dan menziarahi banyak kampung di Tulid. Saya dengar sendiri keluhan mereka iaitu masalah air bersih dan itulah yang kita perjuangkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Wanita PKR Negeri Sabah dan Naib Ketua Wanita PKR Pusat, beliau akan memperjuangkan peruntukan RM1 bilion yang diumumkan Perdana Menteri bagi penyelesaian bekalan air di Sabah, termasuk untuk DUN Tulid.

Rufinah turut menyentuh mengenai pelbagai peruntukan Kerajaan MADANI termasuk kenaikan peruntukan pembangunan Sabah daripada RM4.4 bilion pada tahun 2022 kepada RM9.6 bilion pada tahun 2026 serta bantuan SARA bagi rakyat berusia 18 tahun ke atas.

Selain itu, beliau menyentuh isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang telah diluluskan oleh mahkamah.

“Kerajaan MADANI pada hari ini, tidak merayu pun yang dituntut oleh rakyat Sabah. Inilah Kerajaan MADANI kita, dia paling prihatin kepada rakyat Sabah,” katanya.

Katanya lagi, fokus kedua beliau dalam bidang pendidikan terutama anak-anak muda yang melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya tahu anak-anak kita hebat, tetapi peluang melanjutkan pelajaran tidak mudah kerana kehidupan sangat susah di pedalaman. Kerajaan pada hari ini memberi pendidikan percuma dan pengecualian PTPTN untuk graduan kelas pertama,” jelasnya.

Tambah Rufinah, keperluan penambahbaikan dan penarafan jalan kampung perlu menjadi fokusnya terutama bagi memudahkan hasil pertanian dibawa keluar dari kebun.

“Kemarin kami berjalan di Kampung Sibuan, memang nampak jalan yang tidak betul. Kita perlu laksanakan penambahbaikan serta permohonan jambatan dan projek kecil masyarakat juga akan dibawa terus kepada Kerajaan Persekutuan.

“Jangan risau, saya bersama Perdana Menteri. Tidak susah berjumpa dengan Perdana Menteri kita. Kalau tidak di pejabat, kita boleh masuk rumah beliau dan hantar saja permohonan,” katanya.

Sementara itu, Rufinah turut menzahirkan terima kasih kepada BN atas kerjasama yang padu bagi memenangi kawasan tersebut.

“Kerjasama antara PH dan BN di kawasan Tulid yang menggabungkan kekuatan jentera, pengalaman dan rangkaian ini untuk memastikan kemenangan pada 29 November nanti,” ujarnya.

Related Posts

Tiada pihak wajar dipinggirkan dalam pentadbiran negara, politik kebencian perlu ditolak

PUTRAJAYA – Malaysia harus terus berpaksikan prinsip masyarakat majmuk seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta menolak sebarang bentuk politik kebencian berasaskan kaum. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pentadbiran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jurutera arahan AI disasar di setiap NADI seluruh negara – Fahmi

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi mencadangkan satu inisiatif baharu bagi melahirkan sekurang-kurangnya seorang jurutera arahan kecerdasan buatan (AI) atau prompt engineer di setiap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Penunggang motosikal cedera dalam kemalangan kendiri di Jalan Poyan Jaya

Penunggang motosikal cedera dalam kemalangan kendiri di Jalan Poyan Jaya

Jangan terpengaruh anasir luar, isu Kampung Gayan Sibugal sudah selesai

Jangan terpengaruh anasir luar, isu Kampung Gayan Sibugal sudah selesai

PKR Sabah perkukuh struktur organisasi, siap sedia bantu jentera PRN Johor, Negeri Sembilan

PKR Sabah perkukuh struktur organisasi, siap sedia bantu jentera PRN Johor, Negeri Sembilan

Sabah sambut baik pandangan PM, pastikan rakyat tempatan nikmati pertumbuhan industri pelancongan

Sabah sambut baik pandangan PM, pastikan rakyat tempatan nikmati pertumbuhan industri pelancongan

Kemalangan 6 sekeluarga maut: Reman pemandu lori ditolak

Kemalangan 6 sekeluarga maut: Reman pemandu lori ditolak

Orang ramai diminta beli air ikut keperluan, elak pembelian panik

Orang ramai diminta beli air ikut keperluan, elak pembelian panik