N18 BN Mustaqim Zakaria
KUANTAN – Pemuda UMNO Paya Besar merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas komitmen serta penglibatan aktif beliau dalam Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail, di sini, Selasa lalu.
Program anjuran Sinar Harian itu disifatkan sebagai platform terbaik merapatkan hubungan antara rakyat dan kerajaan negeri melalui sesi dialog dua hala.
Ketua Pemuda UMNO Paya Besar, Mustaqim Zakaria berkata, menerusi sesi itu, rakyat diberi peluang berinteraksi secara langsung dengan Menteri Besar bagi menyuarakan persoalan, cadangan serta kegusaran berkaitan isu semasa.
“Pendekatan ini seiring dengan aspirasi ‘Pahang First’ yang digagaskan Datuk Seri Wan Rosdy dengan meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama pentadbiran di Pahang.
“Pelbagai isu penting disentuh dalam sesi itu, merangkumi antaranya bidang pendidikan, agama, sosioekonomi, pembangunan serta kebajikan rakyat—semuanya bertujuan membawa Pahang ke arah kemajuan yang lebih mapan,” katanya.
Mustaqim memaklumkan, pembabitan aktif Wan Rosdy mendekati penduduk di negeri ini menunjukkan corak kepimpinan berjiwa rakyat dengan keberanian menjawab persoalan secara terbuka serta kesediaan menerima pandangan bagi memantapkan lagi tadbir urus kerajaan Pahang.
“Pemuda UMNO Paya Besar juga merakamkan ucapan tahniah atas kepimpinan tenang dan berwibawa ditonjolkan Wan Rosdy yang sentiasa menekankan keutamaan rakyat dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar negeri,” jelasnya.



