
KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan penambahan empat calon dalam memperkukuh barisan kepimpinan serta kesiapsiagaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Dewan Undangan (DU) Sabah.
Senarai kerusi tambahan dan calon adalah DU itu adalah DU Bandau, Eilley Lampaki; DU Kemabong, Rahmah Jan Sulaiman; DU Karamunting, Datuk Chin Kim Hiung dan DU Kukusan, Chaya Sulaiman.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin susulan pengumuman calon pada Ahad lepas dan setelah meneliti perkembagan mutakhir serta rundingan yang telah diperhalusi.
Menurut Bung, penambahan ini mencerminkan komitmen berterusan BN Sabah untuk memastikan setiap komuniti khususnya di kawasan pilihan menerima pembelaan serta khidmat terbaik daripada calon-calon yang berwibawa dan bersedia menggalas amanah rakyat.
“Ia juga selaras dengan aspirasi Barisan Nasional untuk memastikan representasi yang lebih menyeluruh, berimbang dan strategik yang sesuai dengan keperluan rakyat serta dinamika politik negeri.
“Sehubungan itu, jentera parti di semua peringkat diminta untuk menggiatkan persiapan dan melaksanakan gerak kerja secara tersusun, inklusif dan berfokus demi memastikan kemenangan dan mandat rakyat kembali kepada Barisan Nasional,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Dalam pada itu, Bung berharap barisan calon terbabit dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya serta membuktikan kemampuan untuk meraih keyakinan pengundi, sekali gus memastikan kemenangan buat BN.
“Insya-Allah, barisan calon yang diketengahkan oleh Barisan Nasional akan membawa penawaran kepimpinan yang lebih segar dan menyeluruh bukan sahaja untuk memperkukuh kestabilan, tetapi juga mengangkat Sabah ke arah pembangunan yang lebih inklusif.
“Saya mendoakan agar seluruh jentera dan calon diberikan kekuatan, keberanian dan kejayaan pada PRU kali ini,” ujarnya.
Pada Ahad, BN Sabah mengumumkan 41 calon untuk bertanding di 41 kerusi DU Sabah, dengan penambahan empat lagi calon menjadikan keseluruhan 45 calon BN yang akan bertanding.








