
KUCHING – Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menegaskan peruntukan RM6 bilion daripada Kerajaan Persekutuan mencerminkan hubungan yang kukuh serta komitmen berterusan untuk memastikan pembangunan negeri Sarawak terus diperkasakan.
Menurut beliau, meskipun ada pandangan yang berpendapat Sarawak wajar menerima jumlah lebih besar, kerajaan Sarawak tetap menghargai perhatian yang diberikan dalam suasana ekonomi mencabar ketika ini.
“Kita faham Kerajaan Persekutuan juga berdepan pelbagai beban dan tanggungjawab, namun dalam masa yang sama Sarawak akan terus berusaha meningkatkan pendapatan bagi menampung keperluan pembangunan, terutama di luar bandar,” katanya.
Abdullah berkata, beliau yakin Belanjawan Sarawak yang bakal dibentangkan kelak akan bersifat lebih progresif dan menggambarkan keupayaan negeri mengurus kewangan secara berhemah di bawah kepimpinan Premier Sarawak.
“Ini simbol kepimpinan progresif yang diterajui Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Secara keseluruhannya, kita sedang bergerak ke hadapan dengan yakin,” ujarnya ketika ditemui oleh media selepas Program Penerangan Dan Penjelasan Isu-Isu Semasa Impak Peruntukan Belanjawan 2026 Ke Atas Sarawak di Dewan Majma di Kuching pada Rabu.
Dalam masa sama, beliau berharap peruntukan RM6 bilion tersebut dapat disalurkan sepenuhnya kepada projek-projek pembangunan di Sarawak tanpa sebarang ketirisan.
“Kita mahu keseluruhan RM6 bilion itu benar-benar turun ke Bumi Kenyalang, termasuk geran khas berjumlah RM600 juta.
Keutamaan saya ialah memastikan sekolah-sekolah usang di luar bandar serta infrastruktur asas seperti jalan raya dan kemudahan awam dapat dibaiki segera,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdullah menegaskan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu diteruskan menerusi semangat kerjasama dan rundingan berhemah, termasuk dalam isu berkaitan syarikat minyak dan gas negeri, PETROS dan Petronas.
“Kita akan terus berbincang secara bijaksana tanpa sebarang rasa resah atau konfrontasi. Apa yang penting, kita bekerja bersama demi kepentingan rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan media sebagai penyampai maklumat yang telus dan suara rakyat.
“Warga media mempunyai hak moral untuk menjadi mata dan telinga rakyat. Pemimpin harus berani menjawab soalan mereka dengan bijaksana, bukan melenting. Soalan daripada media sebenarnya datang daripada rakyat,” katanya.



