PUTRAJAYA – Malaysia berbangga dengan pengiktirafan antarabangsa terhadap kualiti lebuh rayanya susulan video tular memaparkan konvoi kenderaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang melalui lebuh raya negara dengan lancar ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pujian meluas oleh warganet itu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara memiliki rangkaian jalan raya paling baik diselenggara di Asia Tenggara.
“Video itu mengingatkan dunia dan kita sendiri bahawa Malaysia sudah membina sesuatu yang luar biasa.
“Kelancaran, kebersihan dan landskap lebuh raya negara jelas terpamer dan dikagumi ramai,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Penyelenggaraan Jalan Malaysia 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik MY-ASEAN 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, hari ini.
Nanta Linggi berkata, video dimuat naik di platform X oleh Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi Trump, Margo Martin, menunjukkan konvoi presiden itu bergerak lancar di lebuh raya tiga lorong ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke ibu negara.
Video berdurasi 13 saat meraih jutaan tontonan di media sosial, dengan ribuan pengguna memuji kualiti jalan raya Malaysia, malah ada yang membandingkannya secara positif dengan infrastruktur di negara maju.
Nanta Linggi berkata, pengiktirafan itu hasil komitmen berdekad lamanya, disokong koordinasi mantap dan budaya penyelenggaraan berdisiplin yang diterajui Jabatan Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta syarikat konsesi lebuh raya.
Beliau berkata, Malaysia kini mengurus lebih 260,000 kilometer jalan Persekutuan, negeri dan perbandaran, menjadikannya antara rangkaian jalan paling luas dan bersepadu di rantau ini.






