
KAMPAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya menumpaskan kegiatan perlombongan bijih timah haram bernilai jutaan ringgit menerusi serbuan Op Bersepadu Khazanah di sebuah kawasan lombong di sini, pada Rabu.
Operasi hasil risikan selama sebulan itu dilaksanakan oleh Cawangan Risik Briged Utara PGA Ulu Kinta bersama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, pemeriksaan mendapati kegiatan perlombongan itu dijalankan tanpa sebarang permit dan kelulusan sah daripada pihak berkuasa.
“Siasatan lanjut mendapati aktiviti perlombongan bijih timah secara haram itu telah aktif beroperasi sejak Julai tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Menurut beliau, hasil serbuan berjaya membawa kepada rampasan pelbagai peralatan dan bahan perlombongan bernilai RM28.73 juta, termasuk 4.5 tan bijih timah, 60 beg jumbo berisi mineral kasar seberat kira-kira 30 tan, serta mesin pemproses bijih timah dan jentera kuari.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Enakmen Mineral Perak 2003 kerana menjalankan aktiviti perlombongan tanpa lesen sah.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Dalam serbuan sama, 27 individu terdiri daripada pekerja tempatan dan warga asing turut ditahan, termasuk seorang pengurus tapak kuari warganegara China.
“Daripada jumlah itu, lapan adalah warga tempatan manakala 19 lagi warga asing masing-masing dari China, Bangladesh dan Nepal, berusia antara 19 hingga 76 tahun,” ujar Shahrum.

Pemeriksaan lanjut mendapati semua pekerja asing terbabit melanggar syarat pas lawatan ke negara ini.
“Mereka kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh atau melanggar syarat permit,” katanya.
Shahrum menegaskan, kejayaan operasi itu bukan sahaja menumpaskan sindiket perlombongan haram bernilai jutaan ringgit, malah menyelamatkan hasil bumi negara daripada terus diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Briged Utara PGA Ulu Kinta akan terus memperhebat risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan di seluruh Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah. Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba memperdagangkan hasil bumi negara demi keuntungan sendiri,” tegasnya.






