
SIBU – Sarawak menyasarkan hasil sehingga RM483 juta setahun menerusi pelaksanaan Transformasi Industri Getah yang menumpukan kepada pengurusan ladang secara lebih cekap dan bersepadu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, negeri ini mempunyai 161,000 hektar kawasan tanaman getah yang diusahakan oleh RISDA, Jabatan Pertanian (DOA) dan Lembaga Pembangunan Tanah Sarawak (SLDB).
“Jika diurus dan ditoreh sepenuhnya, kawasan ini berpotensi menghasilkan 161,000 tan metrik getah setahun dengan nilai jualan sekitar RM483 juta,” katanya ketika merasmikan Projek Transformasi Industri Getah Sarawak: Pengukuhan Projek Getah Komuniti Nanga Sekuau, di Dewan Penghulu Balang Sekuau, pada Selasa.
Menurut beliau, setakat September 2025, Sarawak merekodkan 25,000 tan metrik getah didagangkan dengan nilai RM75 juta meningkat berbanding 20,000 tan metrik pada tahun lalu.
Stephen Rundi berkata Lembaga Industri Getah Sarawak (SARIB) sedang melaksanakan beberapa langkah utama termasuk program rehabilitasi kebun getah sedia ada seluas 1,000 hektar bagi tempoh 2025 hingga 2026 dengan kos RM4 juta.
Selain itu, 50,000 hektar kebun getah terbiar akan dikonsolidasikan melalui Perkongsian Korporat-Komuniti-Awam (CCPP) yang dijangka mengeluarkan 7,500 tan metrik getah sebulan.
“Konsolidasi ini bukan sahaja menampung keperluan tiga kilang Standard Malaysian Rubber (SMR) di Sarawak, malah membuka peluang pekerjaan dengan gaji sekitar RM2,000 sebulan serta memberi pulangan dividen dan bantuan CSR kepada pemilik kebun,” katanya.
SARIB turut bekerjasama dengan Komuniti Agropolitan Skuau dan KMJ Nusantara Sdn Bhd bagi melaksanakan Projek Getah Agropolitan melibatkan 517 peserta di kawasan 544.46 hektar yang akan diperluas ke Ulu Awik dan Sibuti.
Beliau menambah, peningkatan produktiviti amat penting memandangkan permintaan global terhadap getah terus meningkat khususnya dari China yang memerlukan 6.9 juta tan getah asli pada 2024.
Bagi memudahkan jual beli, SARIB turut memperkenalkan inisiatif peraih bergerak dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan pihak swasta.
Setakat ini, terdapat 32 peraih berdaftar di seluruh Sarawak.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Datuk Martin Ben, Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri William Mawan Ikom, ADUN Tamin Christopher Gira Sambang dan Pengurus Besar SARIB Make Jiwan.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





