
SEORANG penuntut maut selepas dipercayai terjatuh di kolej kediamannya Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur, petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat mengesahkan kejadian itu dan menyatakan pihaknya masih menjalan siasatan berkaitan kes berkenaan.
“Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3.15 petang, seorang penuntut lelaki berusia 22 tahun terjatuh dari kolej kediaman di UM.
“Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) dan disahkan meninggal dunia pada jam 4.25 petang oleh pegawai perubatan hospital itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Shamsudin berkata, pihak polis masih berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan tempat kejadian.
“Bedah siasat akan dijalankan pada malam ini oleh pihak Patalogi PPUM. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” katanya.
Terdahulu, UM dalam kenyataan menzahirkan dukacita terhadap mahasiswa yang terlibat dalam insiden itu.
“Seluruh warga UM menzahirkan rasa sedih dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham.
‘Pihak universiti, melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar sedang menyalurkan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga Allahyarham bagi membantu mereka menghadapi saat sukar ini,” katanya.








