
KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berikrar akan melantik seorang wakil rakyat berketurunan Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri sekiranya kembali diberi mandat untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelantikan itu dibuat sekiranya ramai pemimpin Cina dipilih sebagai wakil rakyat selepas pilihan raya akan datang.
Katanya, pengiktirafan itu bukan sekadar simbolik, tetapi berdasarkan sumbangan besar masyarakat Cina dalam kemajuan dan pembangunan negeri Sabah selama ini.
“Tanpa sumbangan anda semua, ekonomi negeri ini tidak akan berkembang. Dalam sektor swasta, peranan usahawan dan peniaga Cina berada pada tahap teratas.
“Dalam perkhidmatan awam pula, ramai pegawai Cina memegang jawatan tinggi dalam kementerian, jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya semasa berucap pada Majlis Malam Mesra Bersama Mesyarakat, Tiong Hua, Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam, pada Isnin.

Hajiji menegaskan komitmen kerajaan melibatkan masyarakat Cina dalam pentadbiran negeri dengan melantik beberapa tokoh profesional Cina sebagai penasihat strategik dalam bidang minyak dan gas, kewangan, pelaburan dan perundangan.
Antara lantikan yang terbaru ialah bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah sebagai Pengerusi Sabah Law Reform Advisory Council (SLRAC) iaitu sebuah badan bebas yang ditubuhkan untuk memperkukuhkan sistem perundangan negeri.
“Majlis ini akan menilai undang-undang lama yang sudah ketinggalan zaman, mengemukakan cadangan reformasi yang relevan dan mesra rakyat serta memastikan pentadbiran kita selari dengan keperluan semasa,” ujarnya.
Katanya, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperbaiki tadbir urus, meningkatkan daya saing Sabah dan memastikan negeri ini terus progresif serta dihormati.






