
PENAMPANG – Seramai 290 mangsa banjir membabitkan 75 keluarga di Penampang menerima sumbangan daripada Kumpulan DESA (DESA Group) dalam usaha meringankan beban mereka.
Sumbangan berupa 300 bakul makanan, beras dan bekalan air mineral itu diserahkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang semalam untuk diagihkan kepada keluarga mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Emiliana Chin berkata, bantuan itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang sentiasa komited membantu masyarakat terjejas akibat bencana.
“Sebagai sebuah syarikat yang dekat di hati rakyat Sabah, kami amat bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi mangsa banjir.
“Sumbangan ini adalah komitmen kami bagi memastikan mangsa sentiasa mempunyai bekalan makanan mencukupi sepanjang berada di PPS,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Emiliana, inisiatif itu juga sebagai tanda solidariti warga kerja DESA yang sentiasa bersama rakyat, khususnya ketika berdepan musibah.
Beliau menegaskan bahawa pihak pengurusan, terutama Pengerusi Kumpulan DESA, Tan Sri Liew Yun Fah, melihat tanggungjawab korporat bukan hanya soal perniagaan semata-mata, tetapi juga menyelami penderitaan rakyat.
Justeru itu, katanya DESA akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.







