
SANDAKAN – Kejadian tanah runtuh sepanjang kira-kira 150 meter menyebabkan Jalan Sim-Sim berhampiran Tokong Cina Pau Kung, di sini, ditutup atas faktor keselamatan pada malam Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.19 malam mengenai kejadian tersebut.
“Sembilan anggota bomba bersama tiga kenderaan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak lima kilometer (km) dari balai bomba.
“Pemeriksaan mendapati kawasan tanah runtuh berada jauh dari lokasi perumahan namun berisiko kepada pengguna jalan raya utama.
“Usaha menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) turut dilakukan bagi mendapatkan tindakan lanjut.
“Jalan berkenaan ditutup atas faktor keselamatan dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Operasi dikawal pada pukul 10.56 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.06 malam.






