
KOTA KINABALU – Pasukan guaman yang mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menggesa supaya semua perhimpunan aman berkaitan solidariti #JusticeForZara ditangguhkan sementara sehingga prosiding inkues selesai.
Menurut kenyataan bersama pasukan peguam, selaras dengan hasrat ibu arwah Zara Qairina, memohon agar semua pihak lebih berhati-hati ketika membuat kritikan bagi mengelakkan risiko sub judice dan sebarang gangguan terhadap kelancaran prosiding.
“Kami berpandangan semua bentuk perhimpunan aman wajar ditangguhkan sementara sehingga prosiding inkues selesai, selaras dengan hasrat ibu Zara.
“Kami dan anak guam kami tidak mahu slogan atau nama Zara dicemari oleh tindakan pihak tidak bertanggungjawab.
“Kami juga sedia maklum bahawa beberapa individu telah ditangkap dan didakwa di mahkamah berhubung ucapan di perhimpunan atau komen di media sosial berkaitan gelombang Justice For Zara,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Sabtu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan, Peguam Rizwandean M Borhan; Shahlan Jufri; Mohd Syarulnizam Mohd Mohd Salleh; Mohd Luqman Syazwan Zabidi; Farrah Nasser dan Elhanan James.
Dalam pada itu, tambahnya himpunan solidariti boleh diteruskan selepas prosiding inkues selesai sepenuhnya.
Jelas kenyataan itu, buat masa ini, orang ramai digesa memberi ruang kepada mahkamah untuk menjalankan tugasnya dengan bebas dan adil.
“Kami berpendapat sebarang himpunan solidariti boleh diteruskan setelah prosiding inkues selesai sepenuhnya.
“Buat masa ini, marilah kita memberi
ruang kepada mahkamah untuk menjalankan tugasnya.
“Dengan kesabaran dan kepercayaan kepada proses kehakiman, kebenaran akan terserlah dan keadilan akan dicapai,” kata pihak guaman.
Pihaknya turut menghargai sokongan orang ramai melalui perhimpunan aman solidariti Justice For Zara serta sumbangan dana bagi menampung kos pelantikan pakar dalam pelbagai bidang untuk anak guam mereka, iaitu ibu kepada Allahyarhamah Zara.
“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga turut dizahirkan atas sokongan orang ramai,” katanya.





