
BAU – Seorang wanita berusia 43 tahun terselamat selepas kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam gaung di Jalan Krokong, Kampung Belimbin pada pagi Isnin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.20 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau digerakkan ke lokasi kejadian, kira-kira tujuh kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada 9.28 pagi, pasukan operasi mendapati sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza berada di dalam gaung. Seorang mangsa, iaitu pemandu wanita berusia 43 tahun, berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya.
Mangsa dikenali sebagai Chiam Chew Jong, mengalami kecederaan di bahu dan diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke hospital berdekatan menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi, PBK I Nelson Phang Siaw Ming, mengetuai operasi bersama lima anggota dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.37 pagi setelah keadaan disahkan terkawal.
Pihak Bomba Sarawak merakamkan penghargaan kepada orang awam yang pantas membantu mangsa, selain mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika memandu terutama di laluan berbukit dan bergaung.




