SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara membuka peluang untuk meraih tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Arab Saudi tahun depan selepas membelasah Mongolia 7-0 dalam aksi kedua kelayakan di Stadium Thammasat, malam tadi.
Harimau Malaya B-23 yang tewas 0-1 kepada Lubnan pada aksi pembukaan Kumpulan F, Rabu lalu, memerlukan 13 minit untuk mendahului Mongolia hasil jaringan Aliff Izwan Yuslan.
Dua minit selepas itu, Aysar Hadi menggandakan kedudukan buat skuad negara sebelum Fergus Tierney menambah satu lagi gol pada minit ke-36 untuk menutup babak pertama dengan kelebihan 3-0.
Anak buah Nafuzi Zain terus mengganas dengan menambah dua gol pantas dalam tempoh satu minit menerusi ledakan Tierney pada minit ke-48 dan 49, sekali gus menyaksikan penyerang Sabah itu mencipta hatrik.
Kenduri gol skuad Harimau Malaya B-23 berterusan selepas Aliff Izwan dan Ziad El Basheer meledak gol pada minit ke-60 dan 67 untuk menambah duka Mongolia yang tewas 0-6 kepada Thailand dalam aksi pertama.
Barisan pemain muda negara bagaimanapun perlu mengharungi satu lagi aksi wajib menang yang lebih getir, Selasa ini apabila turun menentang Thailand bagi perlawanan terakhir kumpulan di gelanggang sama.






