
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) diarahkan memperketatkan prosedur keselamatan pada program yang melibatkan institusi diraja bagi mengelakkan insiden tidak diingini.
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan insiden pencerobohan pentas ketika sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh, Perak, baru-baru ini.
“Apa yang berlaku di Ipoh, Perak, KDN telah diminta untuk meneliti aspek-aspek keselamatan terutama bagi raja-raja supaya tidak berlaku keadaan yang tidak diingini,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Terdahulu, pada 31 Ogos lalu, seorang wanita tempatan berusia 41 tahun meluru naik ke pentas ketika lagu Negeri Perak dimainkan dan cuba menghampiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebelum segera ditahan pasukan keselamatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek masuk melalui bahagian tepi pentas sebelum ditahan anggota keselamatan yang bertugas.
Beliau berkata, wanita berkenaan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan hasil ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.






